LONDON: Graham Potter membawa Chelsea ke kem tentera bagi mengukuhkan semangat berpasukan skuad kendaliannya itu.
Pengendali Chelsea itu membawa anak buahnya bertemu tentera bagi merapatkan hubungan antara pemain-pemainnya serta membantu muka-muka baharu menyesuaikan diri dengan lebih cepat.
Mereka dibawa ke kem tentera berhampiran bandar Liss di Hampshire pada Selasa lalu.
Bagaimanapun tidak ada latihan fizikal, sebaliknya Potter menggunakan pengalaman itu untuk melatih minda pemain-pemainnya supaya lebih kental dan meningkatkan kerjasama berpasukan.
Potter sering menerapkan idea di luar kotak dalam membentuk semangat berpasukan anak buahnya.
Ketika membimbing kelab Sweden, Ostersunds antara tahun 2011 hingga 2018, Potter mengarahkan anak buahnya menari balet, menulis pertunjukan teater berkenaan Vikings dan mempersembahkan lagu rap tradisional Finland.
Dengan Chelsea sudah tersingkir daripada saingan Piala FA musim ini, kelab London itu mempunyai banyak masa pada hujung minggu ini dan peluang itu digunakan Potter untuk menguatkan mental serta fizikal pemain.
Dia mempunyai beberapa perancangan lagi untuk minggu depan tetapi ia dirahsiakan pengendali itu.
Enam pemain baharu ditandatangani bulan ini termasuk pemain pinjaman, Joao Felix.
“Kami perlu cuba menyatukan kumpulan ini. Ada beberapa muka baharu. Ia bukan hanya semata-mata aksi di atas padang, anda perlu berinteraksi sebagai satu pasukan dan kumpulan.
“Ada beberapa perkara yang boleh dilakukan, dan kami akan memanfaatkan tempoh dua minggu ini,” kata Potter.
Chelsea hanya menang dua daripada 10 perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan dan kini berada di tangga ke-10 Liga Perdana Inggeris. – BERITA HARIAN