comscore
Tumpuan :
Sukan

‘Pocket Rocketman’ terima tiupan semangat tambahan menjelang Paris 2024

Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang bersama isteri, Athiah Ilyana Abd Samat selepas majlis pengurniaan pingat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ke-62 yang berlangsung di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu. – FOTO: Azizulhasni/ Facebook

KUALA LUMPUR: Datuk Azizulhasni Awang memperoleh suntikan semangat tambahan menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 apabila dikurnia pingat Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T).

Darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk itu diterimanya dalam satu majlis sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ke-62 yang berlangsung di Istana Syarqiyyah, semalam.

“Merafak sembah dan menjunjung kasih Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Sultan Negeri Terengganu Darul Iman di atas pengurniaan pingat Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T) sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-62 Hari Keputeraan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

“Pengurniaan ini akan patik jadikan sebagai tiupan semangat buat diri patik untuk berjuang di Sukan Olimpik Paris 2024 tidak lama lagi. Patik sungguh terharu di atas pengurniaan ini dan berasa sungguh bertuah menjadi anak jati negeri Terengganu Darul Iman.

“Patik sekalian juga mendoakan agar KDYMM Tuanku Sultan dan KDYMM Sultanah Terengganu sentiasa di bawah lindungan Allah SWT dan terus kekal bersemayam di atas singgahsana dengan penuh kebesaran, kemuliaan dan kedaulatan. Daulat Tuanku!” tulis Azizulhasni dalam hantaran di laman media sosialnya hari ini.

Jaguh berbasikal trek negara itu, sebelum ini turut dikurniakan darjah kebesaran yang sama ketika beliau sedang dalam persiapan akhir menggalas misi Malaysia memburu kilauan pingat emas sulung negara di Tokyo 2020 pada Julai 2021.

Di Tokyo 2020, Azizulhasni memperoleh pingat perak dalam acara keirin selepas tewas di tangan pelumba Great Britain, Jason Kenny.

Untuk rekod, penampilan Azizulhasni yang dikenali dengan julukan ‘The Pocket Rocketman’ di Paris nanti adalah yang kelima buat dirinya.

Sejak membuat penampilan sulung di pentas Olimpik di London 2012, Azizulhasni sudah memperoleh dua kilauan pingat – perak di Tokyo 2020 dan gangsa di Rio 2016.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini