KUALA LUMPUR: Kuartet 4×100 meter (m) lelaki Terengganu mempertahankan kejuaraan yang diraih empat tahun lalu apabila membawa pulang pingat emas di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Kuartet yang dibarisi Abdul Wafiy Roslan, Hasrul Najmi Badrul, Muhammad Zulfiqar Ismail, Ruslem Zikry Putra Roseli cemerlang apabila yang pertama tiba di garisan penamat dengan catatan 40.59 saat (s).
Perak dimenangi kuartet Perak yang turut diperkuatkan dengan kehadiran raja pecut yang baharu, Muhammad Azeem Fahmi apabila merakamkan masa 40.95s manakala gangsa menjadi milik rangkaian pelari dari Selangor dengan catatan 40.97s.
Pada edisi 2018 di Perak, kuartet Terengganu turut mendominasi acara berkenaan apabila merangkul emas dengan catatan 40.21s.
“Kami bersyukur kerana diberi kepercayaan daripada MSN (Majlis Sukan Negeri) Terengganu, persatuan dan rakyat negeri Terengganu, ini adalah kuartet yang memenangi emas pada edisi 2018 di Perak dan kali ini kami berjaya mempertahankannya.
“Tekanan itu memang ada kerana mahu mempertahankan emas, persatuan juga ada cabar kami. Persaingan memang sengit dari kuartet Perak, Negeri Sembilan dan Johor… memang sangat taktikal. Kelebihan Terengganu adalah semua pelari dapat berlari dengan baik,” kata Zulfiqar.
Sementara itu, kuartet 4×100 m wanita Sabah mencipta kejutan apabila berjaya membawa pulang emas menerusi catatan masa 46.84s.
Kuartet yang dibarisi Lim Yi Fei, Chelsea Cassiopeura Evali Bopulas, Nur Aishah Rofina Aling dan
Patronella Lisong itu mengatasi juara bertahan, Terengganu yang terpaksa berpuas hati dengan perak dengan catatan 47.42s manakala Pahang yang ditunjangi ratu pecut SUKMA, Nur Sarah Adi meraih gangsa (47.89s).
Sebagai rekod, pada edisi 2018 kuartet 4×100 wanita Terengganu berjaya membawa pulang emas dalam acara berkenaan dengan menewaskan Sabah (perak) dan Kedah (gangsa). -BERITA HARIAN