comscore
Tumpuan :
Sukan

Piala Supermokh: NFDP A pertahan gelaran juara

Aksi antara NFDP A menentang Pattaya United pada final kategori Bawah 12 tahun (B-12) Piala Supermokh 2024. FOTO: NFDP

KUALA LUMPUR: Skuad Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) A muncul juara bagi kategori Bawah 12 tahun (B-12) Piala Supermokh 2024 selepas menewaskan Pattaya United 1-0 dalam aksi sengit, sebentar tadi.

Ini menyaksikan skuad NFDP A berjaya mempertahankan gelaran yang dimenangi mereka musim lalu dengan mereka bermula garang menerusi beberapa percubaan menguji penjaga gawang lawan, Krhomkt Mangkasat.

Pemain tumpuan yang juga penyerang berbisa NFDP A, Badrul Hazim Hazmi terus memainkan peranan mengucar-kacirkan benteng pertahanan lawan menerusi gerakan larian solo.

Usaha berterusan tuan rumah memburu gol membuahkan hasil di penghujung masa kecederaan separuh masa pertama menerusi jaringan Muhammad Adam Zharif Zakaria pada minit ke-32.

Gol berpunca dari tindakan pantasnya yang menyambung hantaran rakan sepasukan sebelum melakukan rembatan kencang menewaskan Krhomkt untuk kedudukan 1-0 menuju ke bilik persalinan.

Memasuki babak kedua, Pattaya United dilihat banyak menyerang hingga menyebabkan NFDP A lebih banyak bertahan.

Beberapa percubaan berbahaya menerusi kapten, Jirapat Tespan berjaya diatasi penjaga gawang NFDP A, Ahmad Faiq Furqun Ahmad Faisal yang bertindak cemerlang memastikan gawang tidak dibolosi.

Tahap disipilin yang tinggi dan pertahanan kental dipamerkan anak didik Abdul Ghani Malek memastikan keputusan 1-0 itu kekal sehingga tamat masa perlawanan.

Sementara itu, penentuan tempat ketiga dan keempat dalam kategori sama menyaksikan Akademi JDT menewaskan NFDP B menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan.

Menerusi penentuan sepakan penalti, tuah nyata memihak Akademi JDT apabila berjaya mengatasi lawan dengan keputusan 4-2.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini