PETALING JAYA: Pemain skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow melangkah ke separuh akhir selepas mengetepikan Bernat Jaume dari Sepanyol pada pusingan suku akhir Piala Skuasy Malaysia 2024 di Mutiara Damansara, di sini hari ini.
Beraksi dalam gelanggang kaca di pusat beli-belah The Curve, Eain Yow membuktikan kehebatannya sebagai pilihan kedua kejohanan peringkat gangsa itu dengan hanya memerlukan 48 minit untuk menundukkan pilihan kelapan, Jaume 11-7, 11-8, 11-8.
Pemain ke-14 dunia itu berkata, beliau berasa lebih tenang dalam permainan hari ini berbanding perlawanan pusingan kedua semalam apabila menewaskan pemain Amerika Syarikat Shahjahan Khan 11-5, 11-8, 11-2.
“Saya rasa hari ini saya dapat mengatasi isu yang saya mahu (tangani) dan penamat saya lebih baik berbanding semalam.
“Saya berasa sangat selesa dan yakin hari ini, walaupun jarak mata agak rapat,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.