KUALA LUMPUR: Ng Eain Yow akan bersama-sama S Sivasangari mengalas tugas mengibarkan cabaran negara memburu kejuaraan di pentas final Piala Skuasy ACE Malaysia 2024, esok.
Eain Yow mengesahkan kemaraan apabila menundukkan lawan dari India, Abhay Singh 11-5, 11-4, 7-11, 11-4 dalam tempoh 49 minit.
Namun Eain Yow akan berdepan cabaran sebenar di pentas akhir apabila berdepan pilihan pertama dari Mesir, Youssef Soliman yang mara selepas mengecewakan Youssef Ibrahim dalam pertarungan lima set, 11-8, 8-11, 11-9, 8-11, 11-6.
Mengulas mengenai lawannya itu, Eain Yow berkata, dia mempunyai kelebihan ke atas Youssef yang terpaksa menempuh perlawanan yang panjang hari ini kerana beraksi selama 95 minit sebelum mengesahkan kemaraan ke final.
“Dia melalui perlawanan yang panjang dan saya tahu bermain di gelanggang kaca ini agak berbeza dan letih, jadi saya akan guna kelebihan itu.
“Saya hanya perlu fokus pada diri sendiri saya, fokus kepada apa yang boleh saya buat dan jika saya boleh buat, saya akan menang,” katanya.
Sementara itu dalam aksi final wanita esok, akan menemukan Sivasangari berdepan lawan dari Mesir, Amina Ofri.
Sivasangari melangkah ke final selepas menewaskan Georgia Adderley dari Scotland 11-3, 11-8, 11-6 manakala Amina mengecewakan seorang lagi pemain negara Rachel Arnold, 10-12, 9-11, 6-11.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.