Oleh Fariz Zolkarnain
KUALA LUMPUR: Selangor FC berjaya melakar kemenangan pertama dalam saingan Piala MFL 2023 apabila menewaskan Sri Pahang FC 2-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.
Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Abdifitaah Hassan naik ke kedudukan keempat dengan lima mata dalam kumpulan B.
Pelawat memecah kebuntuan jaringan pada babak kedua berpunca daripada sepakan sudut sebelum Haykal Danish menanduk gol pembukaan, minit ke-57.
Sri Pahang cuba bangkit menyamakan kedudukan selepas itu namun kekasaran yang dilakukan Ibrahim Manusi ke atas Muhammad Akid Mohd Zamri pada minit ke-83 memaksa pengadil perlawanan, Muhammad Aqmalhakim Abdul Rahim menghadiahkan sepakan penalti buat Selangor.
Muhammad Izrin Ibrahim tenang menyempurnakan peluang itu untuk menggandakan jaringan.
Tiada lagi gol menyusul, Selangor ceria mengutip tiga mata sulung musim ini manakala Sri Pahang bimbingan Sahrulnizam Sahat yang kini berada di puncak kumpulan B dengan tujuh mata, akur mengalami kekalahan pertama.
Dalam pada itu, Kelantan FC turut meraih kemenangan pertama musim ini selepas menundukkan Kuching City FC 3-2 di Stadium Negeri, Kuching.
Harith Akif Shakar muncul wira Kelantan apabila meledak hatrik pada minit ketujuh, minit ke-27 dan minit ke-66.
Dua gol Kuching City dijaringkan oleh Abang Haiqal Abang Za’afari, minit ke-35 dan Cornelius Ornley Jina, seminit sebelum tamat masa permainan.
Kelantan naik ke tangga keenam dengan empat mata, manakala Kuching City jatuh ke tangga tercorot kumpulan B dengan satu mata.