KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) cemas sebelum bangkit untuk mara ke separuh akhir Piala Malaysia selepas mengetepikan Negeri Sembilan FC (NSFC) 4-2 pada aksi suku akhir kedua saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam tadi.
Kejayaan itu menyaksikan skuad kendalian Badrul Afzan Razali itu menang dengan agregat 6-2 selepas mencatat kemenangan 2-0 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, minggu lalu.
Bagaimanapun tugas berat menanti naib juara Piala Malaysia musim lalu itu yang bakal membuat perhitungan dengan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi separuh akhir pertama di laman sendiri pada 17 Januari depan sebelum aksi timbal balik pada 1 Februari.
Pada perlawanan itu, anak buah Badrul Afzan terlebih dahulu dikejutkan skuad Hobin Jang Hobin melalui sepakan penalti Hadin Azman pada minit ke-24 selepas pertahanan, Muhammad Alif Zakaria mengasari Jacque Faye untuk pelawat mendahului 1-0.
Jaringan itu bagaikan menyuntik semangat anak buah K Nanthakumar untuk terus mengasak kubu tuan rumah bagi menyamakan agregat selepas tewas pada aksi suku akhir pertama minggu lalu.
Usaha pelawat akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya menyamakan agregat 2-2 selepas mendahului tuan rumah 2-0 melalui rembatan deras A Selvan dalam kotak penalti pada minit ke-34 hasil kesilapan penjaga gol, Rahadiazli Rahalim yang gagal membaca tepat hantaran penyerang lawan, Hein Htet Aung.
Selepas ketinggalan, anak buah Badrul Afzan bagaikan mendapat tonik baharu apabila bangkit merapatkan kedudukan 1-2 menerusi sentuhan Akhyar Rashid pada minit ke-41 hasil hantaran lintang Ismaheel Akinade.
Seminit sebelum masa tambahan babak pertama tamat, kombinasi Akhyar dan Safawi Rasid sekali lagi menjadi apabila hantaran pemain kelahiran Kedah itu bijak disudahkan Safawi untuk mengikat kedudukan 2-2 sebelum menuju ke bilik persalinan.
Bersambung babak kedua, tuan rumah mendapat dua peluang terbaik untuk menambah jaringan, namun tandukan Akinade pada minit ke-47 diselamatkan di atas garisan oleh penjaga gol manakala rembatan pemain gantian, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob pada minit ke-64 terkena tiang.
Pada minit ke-81, pemain pertahanan, Muhammad Azam Azmi Murad yang mendapat hantaran Nelson Bonilla berjaya menjaringkan gol ketiga pasukannya untuk mendahului 3-2.
Pada masa kecederaan, pemain pertahanan, Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni menutup sisa perjuangan pelawat apabila mudah menyumbat masuk sepakan penalti selepas bola terkena tangan Ricardo Pires untuk keputusan kekal 4-2 kekal hingga tamat perlawanan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.