Tumpuan :
Sukan

Piala Malaysia: Sherman bantu Sri Pahang ke final

Aksi Sri Pahang FC menentang Sabah FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, malam tadi. – FOTO: Ihsan Sri Pahang FC

TEMERLOH: Sri Pahang FC layak ke pentas final Piala Malaysia selepas menewaskan Sabah FC 2-1 pada aksi separuh akhir kedua dengan agregat 3-2 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, sebentar tadi.

Kejayaan itu menyaksikan Sri Pahang berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 April depan.

Pada aksi separuh akhir pertama, skuad Tok Gajah mengikat lawan 1-1 di Stadium Likas pada 18 Januari lalu.

Sri Pahang bermula dengan baik apabila menguasai awal perlawanan dan peluang hadir menerusi Kpah Sherman, tetapi bola sepakan penyerang import dari Liberia itu sedikit melepasi palang lawan pada minit ke-15.

Pemain tengah Sabah, Stuart Wilkin hampir menjaringkan gol pendahuluan tetapi bola sepakannya turut melepasi palang.

Pada minit ke-24, pemain pertahanan Sri Pahang, Adam Nor Azlin mempersia-siakan peluang keemasan di hadapan gawang lawan apabila bola melambung tinggi.

Kedua-dua pasukan terpaksa akur gagal untuk melakukan jaringan pada babak pertama.

Akhirnya, Sri Pahang di depan apabila pemain gantian Sabah FC, Taesu Park tertanduk bola ke gawang sendiri selepas berusaha menyelamatkan bola hantaran Baqiudin Shamsuddin pada minit ke-68.

Namun penyerang Sabah, S Kumaahran menyamakan kedudukan 1-1, empat minit kemudian selepas penjaga gol tuan rumah, Zarif Irfan Hashimuddin ditewaskan dan kedudukan itu kekal sehingga tamat 90 minit, menyaksikan perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan.

Pada minit ke-106, Sherman menjaringkan gol kemenangan 2-1 buat Sri Pahang, sekali gus menempah tiket ke final piala beprestij itu yang kali terakhir dilakukan pada 2014.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini