KUALA LUMPUR: Kemaraan Selangor tersekat di tangan Terengganu apabila terikat 1-1 dengan skuad penyu itu dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam semalam.
Keputusan itu menyaksikan Terengganu mara dengan agregat 3-1 selepas meraih kemenangan 2-0 pada aksi pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, 16 September lalu sekali gus menyingkirkan juara 33 kali Piala Malaysia itu.
Selangor turun dengan misi untuk bangkit memadam kelebihan dimiliki Terengganu mengasak ke kubu lawan dengan beberapa gerakan dan percubaan sejak awal permainan, namun gagal mendapatkan jaringan.
Sebaliknya, Terengganu berjaya menambah kelebihan mereka apabila Ivan Mamut menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-24 selepas Safuwan Baharudin menjatuhkan Nor Hakim Hassan.
Safuwan bagaimanapun menebus kesilapannya apabila menanduk masuk bola sepak penjuru Faisal Halim pada minit ke-69 untuk merapatkan jurang agregat jaringan.
Namun, jaringan berkenaan tidak cukup untuk menyelamatkan naib juara Piala Malaysia musim lalu itu daripada tersingkir di suku akhir.
Terengganu yang pernah memenangi Piala Malaysia pada 2001 akan mengharungi aksi separuh akhir berdepan juara 2021, Kuala Lumpur (KL) City yang mengatasi Sri Pahang dengan agregat 2-1.