Tumpuan :
Sukan

Piala Malaysia: Sabah jumpa Sri Pahang di separuh akhir

Aksi Sabah FC menentang Kuching City FC pada aksi kedua suku akhir Piala Malaysia di Stadium Likas. – FOTO: NSTP

KOTA KINABALU: Sabah FC mengesahkan tiket ke separuh akhir Piala Malaysia 2024 dengan agregat 1-0 selepas seri tanpa jaringan pada perlawanan kedua suku akhir menentang Kuching City FC di Stadium Likas, sebentar tadi.

Bekalan tipis yang dibawa hasil kemenangan di Kuching sebelum ini sudah cukup untuk skuad Sang Badak meraikan kemenangan suku akhir walaupun terikat 0-0 di gelanggang sendiri.

Kemenangan itu menyaksikan Sabah akan membuat perhitungan dengan Sri Pahang FC bagi perebutan tiket ke pentas final.

Terdahulu, Sabah dan Kuching City berhempas pulas mencari jaringan, lebih-lebih lagi pasukan pelawat yang datang dengan misi untuk menidakkan tuan rumah daripada melangkah ke pusingan seterusnya.

Kuching City kelihatan garang sejak babak pertama perlawanan, namun agak malang tiada percubaan berbisa yang menepati sasaran untuk menghasilkan gol sepanjang kedua-dua babak.

Sabah pula yang pada awalnya lebih banyak bertahan bagi mengawal gawang daripada dibolosi pasukan lawan, masih berjaya mencipta beberapa serangan balas.

Beberapa percubaan jauh Stuart John Wilkin bermula pada minit ke-20 hingga minit ke-35, selain cubaan Telmo Castanheira pada minit ke-25 hampir mencipta jaringan.

Kebuntuan tanpa jaringan sepanjang babak pertama itu disusuli aksi yang lebih panas pada separuh masa kedua, terutama Kuching City yang kesuntukan masa untuk mengubah kedudukan.

Namun, usaha pasukan lawan termasuk menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti Sabah pada minit kecederaan masih gagal menghasilkan jaringan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini