KUALA LUMPUR: Sabah FC mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Malaysia 2024/25 selepas menyingkirkan pasukan Liga A1 Semi Pro, PT Athletic FC 7-0 secara agregat.
Selepas memenangi aksi pertama 4-0 di laman sendiri, skuad ‘Badak’ menewaskan lawan sama 3-0 pada aksi kedua pusingan 16 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Keputusan ini menyaksikan Sabah FC akan menanti pemenang antara Penang FC ataupun Kuching City FC (KCFC) dengan KCFC ketika ini berkelebihan 1-0 secara agregat.
Tampanan pemain Sabah FC, Joao Pedro pada minit ke-13 tidak menepati sasaran meskipun berada di hadapan gol sebelum tandukan Telmo Castanheira yang menyambut hantaran lintang Farhan Roslan melambung tinggi pada minit ke-15.
Tindakan pertahanan PT Athletic FC, Abdul Latiff Suhaimi menerjah Farhan pada minit ke-63 mengundang padah selepas Sabah FC dihadiahkan sepakan penalti susulan semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) dan ia disempurnakan Darren Lok untuk gol pembukaan Sabah FC.
Stuart Wilkin melebarkan jurang dengan gol kedua pada minit ke-72, sebelum Joao Pedro menghasilkan gol ketiga Sabah FC pada minit ke-80.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.