comscore
Tumpuan :
Sukan

Piala Malaysia: Penang FC gagal manfaat aksi di laman sendiri

GEORGETOWN: Penang FC dijangka berdepan laluan getir apabila gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri selepas ditundukkan Kuching City FC, 0-1 pada aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Bandaraya, di sini, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan skuad Harimau Kumbang mengorak langkah kiri terutama buat jurulatihnya, Wan Rohaimi Wan Ismail yang baru mengambil alih pasukan daripada Akmal Rizal Ahmad Rakhli, minggu lalu.

Bermula dengan agak baik, kedua-dua pasukan dilihat bermain dengan cukup berhati-hati terutamanya pada separuh masa pertama disebabkan keadaan padang becak dalam suasana hujan sepanjang 90 minit permainan berlangsung.

Tuan rumah dilihat menguasai perlawanan pada separuh masa pertama namun ketumpulan jentera serangan membuatkan mereka berputih mata apabila rembatan Ramadan Saifullah Usman, berjaya meledak gol tunggal Kuching City hasil hantaran Tchetche Kipre pada minit ke-44.

Kipre sebelum itu cemerlang melarikan bola sekali gus mengelirukan pertahanan tuan rumah, A Namathevan dan penjaga gawang, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman yang dilihat agak terleka ketika itu.

Tuan rumah cuba merapatkan kedudukan antaranya menerusi Adib Ra’op, Nik Akif Syahiran dan Syamer Kutty termasuk menerusi gandingan Dylan Wenzel Halls dan pemain gantian, Nabil Ahmad Latpi namun menemui jalan buntu.

Memasuki babak kedua, Kuching City lebih agresif mengatur serangan demi serangan untuk menggandakan jaringan, namun keputusan kekal sehingga permainan tamat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini