Tumpuan :
Sukan

PIALA MALAYSIA: Peluang masih belum tertutup buat Negeri Sembilan FC – K. Devan

FOTO: Negeri Sembilan Football Club / Facebook

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

SEREMBAN: Peluang masih belum tertutup buat Negeri Sembilan FC untuk merebut tiket ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia.

Keyakinan disuarakan pengendali, K. Devan yang melihat, kelebihan beraksi di tempat sendiri di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, di hadapan penyokong sendiri bakal memberikan semangat berbeza kepada barisan pemainnya.

“Saya rasa memang ada peluang, kita kalah hari itu dengan penalti dan kita bermain dengan 10 orang, dan saya rasa di tempat sendiri kita ada sedikit kelebihan dan mungkin kita perlu bertahan dengan baik dan dalam masa sama, kita perlu menghasilkan gol, kita akan buat serangan dan perlu dapatkan gol, kita akan fokus untuk mendapatkan gol, kalau boleh gol awal,” kata Devan.

Negeri Sembilan bagaimanapun tidak dapat menggunakan khidmat Herold Goulon selepas pemain pertahanan kelahiran Perancis itu dilayangkan kad merah pada pertemuan pertama menentang Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya Ahad lalu.

Namun, keyakinan tinggi disuarakan Devan bahawa ada pemain lain yang mampu menggalas tugas yang ditinggalkan Goulon menjelang pertemuan menentang Selangor malam nanti.

Pada perlawanan pertama minggu lalu, Negeri Sembilan terpaksa akur dengan kekalahan 0-2 selepas Herlison Caion dan Alif Haiqal memberikan kelebihan kepada Selangor.

Namun, baki 90 minit perlawanan malam ini, peluang masih ada buat Negeri Sembilan untuk mencuba, bangkit dari ketinggalan sekaligus mara ke peringkat separuh akhir.

Juara Piala Malaysia edisi 2009 dan 2011 ini bagaimanapun mengharapkan sokongan padu peminat yang semestinya mampu untuk menaikkan semangat pasukan sepanjang aksi yang akan berlangsung bermula jam 9 malam nanti.

Selain pertemuan Negeri Sembilan dan Selangor, turut berlangsung, perlawanan antara Terengganu FC dan Kuala Lumpur City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bagi perebutan satu lagi slot ke separuh akhir.

Loading...
Terkini