ISKANDAR PUTERI: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan untuk melangkah ke separuh akhir selepas membelasah Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 4-0 pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di sini sebentar tadi.
Kemenangan dengan agregat 6-1 itu menyaksikan skuad kendalian Hector Bidoglio menanti sama ada Terengganu FC (TFC) atau Negeri Sembilan FC (NSFC) yang membuat perhitungan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam ini.
Pada perlawanan itu, Bidoglio membariskan sebilangan besar kesebelasan yang sama ketika menentang Sri Pahang FC, 17 Disember lalu kecuali tidak menyenaraikan Jordi Amat, sebaliknya meletak Park Jun-heong bagi menguatkan benteng pertahanan.
Skuad Harimau Selatan memberi amaran betapa keinginan memburu kemenangan begitu tinggi apabila bola sepakan percuma Juan Muniz dari jarak 25 meter pada minit ke-16 hanya sipi daripada gawang gol ketika penjaga gol, Azri Ab Ghani sudah tertewas.
JDT terlepas untuk merungkai jaringan pada minit ke-25 selepas bola umpanan Arif Aiman Hanapi membuka ruang buat Park Jun-heong merembat bola leret namun tiang gol sebelah kiri menjadi penghalang ketika Azri sudah tertewas.
Memasuki minit ke-34, JDT dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil, S Logeswaran yang menyemak Video Bantuan Pengadil (VAR) berjaya mengesan tindakan Nabil Hakim Bokhari membentes Arif Aiman di dalam kotak penalti.
Arif Aiman yang mengambil sepakan penalti itu merembat bola tepat ke penjuru kiri menewaskan Azri bagi meletak JDT mendahului 1-0 dan agregat 3-1 pada aksi suku akhir kedua.
Pada minit akhir babak pertama, JDT menambah lagi jaringan selepas bola lorongan Oscar Arribas menyaksikan Bergson da Silva sempat memperdayakan S Sharvin sebelum merembat bola pada sudut sukar untuk menewaskan Azri bagi kedudukan 2-0 dan agregat 4-1.
Bersambung babak kedua, Sharvin menambah derita KL City FC apabila menghadiahkan sepakan penalti buat JDT kerana bertindak mengasari Arribas di dalam kotak penalti pada minit ke-56 dan Bergson mudah melakukan sepakan penalti gaya `panenka’ yang mengelirukan Azri untuk meletak Harimau Selatan dengan kedudukan 3-0 dan agregat 5-1.
JDT mengukuhkan lagi kedudukan untuk mara ke separuh akhir selepas Muniz yang menerima bola lorongan Eddy Israflov pada minit ke-62 bertindak merembat bola lencong dari luar kotak penalti tepat ke penjuru kiri gawang untuk gol keempat dan keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.