MELAKA: Terengganu FC (TFC) tidak berdepan masalah menewaskan Melaka FC selepas mengatasi lawan 4-1 pada aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, sebentar tadi.
Beraksi dengan baik pada awal babak tuan rumah bagaimanapun gagal mengekalkan rentak terbabit selepas pelawat lebih bijak menguasai permainan untuk menekan skuad A1 Semi Pro berkenaan.
Usaha mereka berhasil menerusi penyerang kebangsaan Safawi Rasid yang merekod gol pertama pasukannya pada minit ke-7 selepas merembat kencang menewaskan penjaga gol Ameerul Eqhwan Mohd Fauzi.
Gol berpunca daripada hantaran lintang Akhyar Rashid terbabit jelas membuka nafsu besar buat skuad Penyu untuk terus memburu jaringan.
Malah Akhyar membuktikan kelibatnya perlu lebih diawasi selepas dia berjaya mengelicik pertahanan Melaka dalam situasi sukar sehingga dijatuhkan sekali gus dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke -15 perlawanan.
Akhyar tidak menghadapi masalah untuk menyumbang gol kedua TFC selepas sepakan penaltinya menerjah kencang ke jaring Melaka.
Peluang terbaik bagi merapatkan jurang terhasil dua minit selepas itu namun rembatan Fikri Shah yang hanya berdepan Rahadiazli melambung tinggi melepasi palang gol.
Bersambung babak kedua TFC terus memberi tekanan kepada Melaka dengan Akhyar bijak melebarkan jaringan peribadinya selepas menanduk masuk gol ketiga TFC pada minit ke-54.
Stadium Hang Jebat yang sekian lama sunyi dari aksi Liga Malaysia akhirnya kembali bergema selepas Melaka membuka jaringan pertama mereka di pentas Piala Malaysia pada m-55 menerusi jaringan Fusseini Issam.
Bagaimana tentangan Melaka jelas meningkatkan moral pemain TFC selepas Muhammad Alif Zakaria mencipta gol keempat pada minit ke-90 untuk selesa mengatasi Melaka 4-1 di bumi Hang Tuah.
Kemenangan terbabit bekalan menarik buat skuad bimbingan Badrul Afzan Razali sebelum aksi timbal balik pada 29 November di Kuala Terengganu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.