comscore
Tumpuan :
Sukan

PIALA MALAYSIA 2023: JDT & TFC bawa bekalan selesa, Sri Pahang bikin cemas

KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) membuka tirai kempen Piala Malaysia 2023 dengan bergaya apabila membenam Kelantan FC 5-1 pada aksi pertama pusingan 16 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, sebentar tadi.

Pelawat kendalian Esteban Solari tidak mengambil masa yang lama untuk menyingkap gol pembukaan menerusi jaringan Bergson Da Silva, seawal minit keenam.

Minit ke-15, Heberty Fernandes menggandakan jaringan sebelum penyerang import baharu kelahiran Brazil itu sekali lagi mencetak gol, minit ke-24 untuk JDT mendahului 3-0 sehingga tamat babak pertama.

Lima minit sebaik bersambung babak kedua, Harimau Selatan tambah selesa apabila giliran Shahrul Saad meledak gol keempat disusuli Nazmi Faiz Mansor menjaringkan gol kelima, minit ke-67.

Sekalipun ketinggalan, Kelantan bimbingan Angel Alfredo Vera tidak mudah mengalah dan hasilnya sepakan kencang Khala’if Mohd Naskam berjaya membolosi gawang JDT, minit ke-85.

Tiada lagi gol menyusul, JDT dan Kelantan akan bertemu dalam aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, 19 Ogos ini.

Sementara itu di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Terengganu FC (TFC) tidak berdepan masalah untuk menewaskan pasukan Liga M3, KL Rovers 4-0 pada perlawanan pertama pusingan 16.

Ivan Mamut muncul wira TFC apabila meledak hatrik bermula pada minit ke-17.

Mamut memastikan pelawat menuju ke bilik persalinan dengan kelebihan dua gol selepas meledak jaringan kedua di penghujung babak pertama.

TFC hanya memerlukan enam minit selepas rehat untuk melebarkan jurang, kali ini menerusi Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yaacob.

Minit ke-66, Mamut melengkapkan hatriknya sekaligus menghadiahkan kemenangan 4-0 buat TFC.

Kemenangan selesa itu menyaksikan skuad bimbingan Tomislav Steinbruckner bakal turun tanpa tekanan menjelang aksi kedua menentang KL Rovers di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, 18 Ogos ini.

Dalam pada itu, nasib berbeza dialami Sri Pahang FC ketika bertemu satu lagi pasukan Liga M3, Harini Selangor FT di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Anak buah Fandi Ahmad cemas sebelum melakar kemenangan tipis 3-2 pada perlawanan pertama pusingan 16.

Sri Pahang terlebih dahulu di depan 2-0 hasil jaringan David Rowley dan Syazwan Andik Mohd Ishak minit ke-20 dan minit ke-54.

Namun Harini Selangor yang dibarisi bekas-bekas pemain Liga Super berjaya bangkit menerusi jaringan Muhammad Fikri Mohamed Shah, minit ke-59 dan gol penyamaan Norshahrul Idlan Talaha, minit ke-74.

Ketika ramai menjangkakan perlawanan ini akan berakhir seri, Muhammad Baqiuddin Shamsudin muncul wira Sri Pahang apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan.

Aksi kedua Sri Pahang menentang Harini Selangor akan berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan 20 Ogos ini.

Loading...
Terkini