Tumpuan :
Sukan

Piala Liga Inggeris: Liverpool, Arsenal pesta gol 5-1

ENGLAND: Diogo Jota dan Cody Gakpo masing-masing meledak dua gol ketika juara bertahan Liverpool membelasah West Ham 5-1 di Anfield awal pagi tadi.

Mohamed Salah turut menyumbang gol buat Liverpool yang ketinggalan dan berdepan beberapa detik cemas sebelum bangkit melakar kemenangan selesa.

Meraikan kejayaan yang sama, Arsenal turut berjaya membenam kelab divisyen tiga, Bolton Wanderers 5-1.

West Ham – yang beraksi 10 pemain apabila Edson Alvarez dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-76 – membuka tirai jaringan di Anfield apabila percubaan Wataru Endo untuk mengeluarkan bola susulan sepakan sudut terkena Jarell Quansah dan melepasi penjaga gol Caoimhin Kelleher bagi gol sendiri.

Kegembiraan The Hammers tidak bertahan lama apabila Jota menyamakan kedudukan empat minit kemudian, melonjak tinggi untuk menanduk masuk voli akrobatik Federico Chiesa.

Jota meledak gol keduanya pada minit ke-49 apabila Curtis Jones melakukan hantaran ke belakang kepada pemain Portugal itu yang merembat ke penjuru gol.

Bintang utama Salah menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-74 apabila dia menampan masuk bola muntah susulan percubaan Alexis Mac Allister, kemudian Alvarez dibuang padang dua minit kemudian kerana terjahan keras.

Gakpo menambah dua gol pagi pada minit ke-90 dan 93, gol pertamanya menakjubkan dari jarak 20 meter selepas hantaran satu dua dengan Darwin Nunez.

The Reds melakar rekod kejuaraan Piala Liga ke-10 musim lalu, trofi terakhir pengurus Jurgen Klopp bersama pasukan itu sebelum beliau meletak jawatan pada hujung kempen.

Pengurus baharu Slot meneruskan legasinya dengan bertindak cemerlang setakat ini.

Liverpool menghuni tangga kedua di belakang Manchester City dalam Liga Perdana Inggeris selepas lima perlawanan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini