Tumpuan :
Sukan

Piala Liga: Finalis musim lepas mara selepas benam Barrow

Nkunku meledak hatrik pertamanya untuk Chelsea ketika menewaskan Barrow, awal pagi tadi. – FOTO: Reuters

MANCHESTER: Christopher Nkunku meledak hatrik ketika Chelsea membelasah Barrow 5-0 untuk melangkah ke pusingan 16 terakhir Piala Liga, awal pagi tadi.

Nkunku kini sudah menjaringkan enam gol dalam tujuh penampilan musim ini tetapi pemain Perancis itu masih belum berjaya mengukuhkan tempatnya dalam skuad bimbingan Enzo Maresca.

Maresca melakukan 11 pertukaran daripada pasukan yang menewaskan West Ham 3-0, Sabtu lalu tetapi masih boleh menurunkan bakat baharu yang keseluruhan bernilai 400 juta pound (RM2.21 bilion).

Joao Felix yang menjadi salah seorang pemain termahal Chelsea beraksi cemerlang dalam perlawanan di Stamford Bridge itu.

Hantaran cantiknya membolehkan Nkunku menjaringkan gol pembukaan seawal minit kelapan.

Nkunku kemudian menjaringkan gol kedua pada minit ke-15 sebelum sepakan percuma Felix mengenai tiang dan melantun masuk ke dalam gol selepas terkena penjaga gol Barrow, Paul Farman minit ke-28.

Pada minit ke-48, Pedro Neto menyudahkan hantaran Mykhailo Mudryk untuk gol pertamanya bersama Chelsea.

Nkunku melengkapkan hatrik pertamanya untuk kelab apabila dia merampas bola daripada Farman dan menyudahkannya ke dalam gawang yang kosong pada minit ke-75.

Maresca berkata, kemenangan meyakinkan Chelsea itu membuktikan mereka “serius” untuk bersaing merebut trofi musim ini.

“Saya sangat gembira dengan prestasi dan keputusan ini. Kami melakukan banyak perubahan, tetapi idea daripada pasukan adalah sama.

“Ini harus menjadi salah satu sasaran kami, tidak kira bagaimana kami bermain, yang penting identiti pasukan sentiasa ada.

“Malam ini, saya rasa prestasi kami sangat baik dan kami menunjukkan betapa seriusnya kami,” kata Maresca.

Chelsea hampir memenangi trofi Piala Liga musim lalu, tetapi tewas kepada Liverpool dalam masa tambahan di Wembley. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini