![](https://media.buletintv3.my/2025/02/wBzxE5kk-TEMPLATE-CMS.pptx.jpg)
MANCHESTER: Harry Maguire menanduk masuk gol saat akhir membantu penyandang juara Piala FA Inggeris, Manchester United bangkit untuk menundukkan Leicester 2-1 awal pagi tadi, menamatkan kisah dongeng kembalinya Ruud van Nistelrooy ke Old Trafford.
Bobby De Cordova-Reid meletakkan kelab bermasalah Liga Perdana Inggeris itu di depan tiga minit sebelum rehat.
Namun kemasukan Alejandro Garnacho selepas rehat memberikan United dimensi berbeza dan seorang lagi pemain gantian Joshua Zirkzee menyamakan kedudukan pada minit ke-68.
Pasukan kendalian Ruben Amorim menekan untuk mencari gol kemenangan dan akhirnya ia hadir apabila bekas pertahanan Leicester, Maguire menanduk masuk sepakan percuma Bruno Fernandes pada minit ketiga masa kecederaan.
Pengurus dari Portugal itu, yang bergelut untuk melaksanakan ideanya di Old Trafford tiga bulan selepas dilantik berkata, ia satu “persembahan buruk” daripada pasukannya.
“Kami tidak bertenaga pada awalnya, terutamanya pada babak pertama,” katanya kepada ITV.
“Kemudian pada babak kedua kami bermain agak baik sedikit, dengan lebih kelajuan sedikit, memenangi bola kedua.
“Kemudian kami berjaya mengubah keadaan jadi ia satu keputusan yang bagus tetapi bukannya satu persembahan yang bagus.
“Jurulatih yang pertama bertanggungjawab, apabila satu pasukan tidak bertindak baik, tidak meningkat, ia tugas jurulatih tetapi kami di sini untuk melakukannya dan melihat permainan, mengkaji perlawanan dan cuba untuk meningkat.”
United meledak lapan gol dalam dua perlawanan menentang Leicester pada awal kempen ketika Van Nistelrooy bertugas seketika sebagai bos sementara di Old Trafford susulan pemecatan Erik ten Hag.
Namun kali ini bekas penyerang bintang mereka berada di pasukan lawan.
United, yang menewaskan Manchester City pada final di Wembley Mei lalu, kurang keyakinan selepas lima kekalahan dalam tujuh perlawanan terakhir di laman sendiri dalam semua pertandingan. – AGENSI
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.