ANKARA: Piala Dunia Kelab FIFA 2022 bermula pada Rabu di Maghribi yang menampilkan pemenang enam konfederasi benua termasuk juara bertahan Liga Juara-Juara UEFA, Real Madrid dan juara negara tuan rumah, lapor Agensi Anadolu.
Kejohanan itu akan berlangsung hingga 11 Feb di Rabat dan Tangier.
Perlawanan peringkat pertama antara Al Ahly dari Mesir dan Auckland City of New Zealand akan bermula pada 1900GMT di Tangier dan pemenang akan menentang kelab AS Seattle Sounders dalam perlawanan pusingan kedua pada Sabtu.
Wydad Athletic Club (Maghribi) akan menentang Al Hilal (Arab Saudi) pada pusingan kedua pada hari yang sama.
Wydad memenangi Liga Maghribi dan Liga Juara-Juara CAF pada 2022 untuk layak secara automatik yang bermakna finalis Liga Juara-Juara CAF Al Ahly mengambil slot tuan rumah Maghribi.
Juara bertahan Copa CONMEBOL Libertadores Flamengo (Brazil) dan pemenang Liga Juara-Juara UEFA, Real Madrid (Sepanyol) akan menyertai pada peringkat separuh akhir.
Peringkat separuh akhir akan diadakan pada 7 dan 8 Feb dan perlawanan akhir dijadualkan pada 11 Februari.
Real Madrid layak buat kali keenam dan pernah memenangi gelaran itu pada 2014, 2016, 2017 dan 2018.
Chelsea dari England adalah juara 2021, namun tidak dapat mempertahan gelaran mereka kali ini di Maghribi. – BERNAMA