Tumpuan :
Sukan

Piala Dunia Kelab dikhuatiri beri impak kepada EPL

Manchester City (jersi biru muda) dan Chelsea akan mewakili England pada kejohanan Piala Dunia Kelab di Amerika Syarikat tahun ini. – FOTO: premierleague.com

LONDON: Ketua eksekutif Liga Perdana Inggeris (EPL), Richard Masters bimbang Piala Dunia Kelab tahun ini akan mencetus “kesukaran besar” buat Manchester City dan Chelsea menjelang kempen liga utama Inggeris musim depan.

Dua kelab itu mewakili England pada kejohanan anjuran FIFA yang diperbesarkan kepada 32 pasukan di Amerika Syarikat, dengan kesatuan pemain mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang dan liga kebangsaan tidak gembira mengenai potensi yang boleh menjejaskan pertandingan mereka sendiri.

Perlawanan akhir Piala Dunia Kelab akan diadakan pada 13 Julai, dengan musim EPL 2025-26 bermula pada 16 Ogos.

“Liga dan kesatuan pemain tidak gembira dengan keputusan yang diambil di peringkat global,” kata Masters kepada Sky Sports.

“Kami lihat Piala Dunia Kelab akan berlangsung dan jelas ia akan memberi impak terhadap EPL.

“Jika sama ada Manchester City atau Chelsea layak ke final pertandingan itu, EPL bermula empat minggu kemudian dan semua pemain sepatutnya mendapat cuti tiga minggu sebagai sebahagian daripada komitmen kontrak. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini