Oleh: Al Shaiful Nazib Talib
KUALA LUMPUR: Enam daripada lapan pemain negara akan memulakan cabaran di Kejohanan Boling Piala Dunia IBF 2025 esok, selepas jadual perlawanan peringkat kumpulan dikeluarkan.
Tumpuan terarah kepada Sin Li Jane, taruhan utama Malaysia, selain juara dunia 2023, Natasha Roslan, dalam kategori wanita.
Li Jane dijadualkan menempuh tujuh perlawanan esok, bermula dengan pertemuan menentang wakil China, Lan Xu, pada jam 6 petang. Gillian Lim pula akan bermain enam perlawanan, dengan jaguh Macau, Veronica Dias De Souza, menjadi lawan pembuka tirainya.
Natasha Roslan dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman turut dijadualkan mengharungi tujuh perlawanan. Natasha bakal berdepan pemain nombor satu Australia, Bec Whiting, manakala Siti Safiyah bertemu wakil Peru, Maria Belleza, untuk aksi pertama.
Hanya lapan pemain terbaik setiap kumpulan akan mara ke pusingan kedua, membabitkan 32 pemain keseluruhan.
“Saya mahu buktikan masih mampu menang pingat dalam acara individu dan berpasukan. Tahun ini lebih yakin dengan pasukan kerana ada bakat baharu seperti Gillian Lim,” kata Siti Safiyah dalam perkongsian video.
Dalam kategori lelaki, Tun Hakim Tun Hasnul Azam dan Timmy Tan masing-masing akan memulakan cabaran esok dengan enam perlawanan. Tun Hakim dijangka mudah menundukkan pemain tuan rumah, Wu Siu Hing, sementara Timmy bertemu Ray San Nicolas dari Guam.
Dua lagi pemain lelaki, Muhd Rafiq Ismail dan Ahmad Muaz Fishol, hanya akan memulakan aksi Rabu nanti, dengan masing-masing bermain lima perlawanan pada hari pertama. Rafiq bakal menentang wakil Guam, Jeremiah Camacho, manakala Muaz bertemu pemain India, Asgarali Dhankot Shabbir.
“Kali ini format berbeza, tetapi saya akan buat yang terbaik. Latihan rasmi tadi ada sedikit perubahan, tapi tidak menjadi masalah,” kata Muaz.
Kejohanan berlangsung di Kowloon, Hong Kong, dari esok hingga 14 Januari, dengan hanya empat pemain terbaik setiap kumpulan layak ke pusingan seterusnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.