SAO PAULO: Bintang bola sepak, Neymar mengesahkan Piala Dunia 2026 akan menjadi penampilan terakhirnya, sambil menaruh keyakinan penuh bahawa Brazil mampu melangkah ke pusingan akhir di Amerika Utara.
“Saya sedar ini adalah peluang terakhir saya, dan saya akan melakukan segalanya untuk beraksi di sana,” kata penyerang berusia 32 tahun itu dalam temu bual bersama CNN.
Pada masa sama, Neymar juga tidak menolak kemungkinan bersatu semula dengan bekas rakan sepasukan Barcelona, Lionel Messi dan Luis Suarez, di kelab MLS, Inter Miami.
Brazil ketika ini berdepan cabaran dalam kempen kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan. Selepas 12 daripada 18 perlawanan, mereka menduduki tempat kelima, namun masih berpeluang layak secara automatik dengan enam pasukan teratas dijamin tempat ke Piala Dunia.
“Saya yakin dengan pasukan ini, terutamanya pemain-pemain muda yang semakin meningkat,” ujar Neymar. “Kami tidak berada di posisi terbaik, tetapi masih ada masa untuk memperbaiki keadaan dan layak ke Piala Dunia.”
Neymar, yang memulakan empat aksi awal Brazil dalam pusingan kelayakan, terpaksa berehat panjang selepas mengalami kecederaan lutut ketika tewas kepada Uruguay pada Oktober 2023.
Selepas menjalani pembedahan, dia kembali beraksi untuk Al-Hilal pada Oktober dan November, namun mengalami kecederaan hamstring yang membatasinya sejak itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.