DOHA: Korea Selatan bangga dengan usaha mereka berdepan Uruguay pada aksi pembukaan Piala Dunia namun perlu ketajaman di depan gol apabila berdepan Ghana esok, ketika kedua-dua pasukan terdesak bagi mencari kemenangan.
Bermain dalam Piala Dunia ke-11 mereka, Korea Selatan memulakan kempen dengan seri 0-0 berdepan Uruguay sambil menampilkan persembahan bagus.
Walaupun mencipta peluang di bahagian serangan, mereka tidak mampu menyudahkan peluang ketika pasukan Asia itu tidak melakukan sebarang cubaan tepat ke arah gol.
Korea Selatan terlalu bergantung kepada pemain tengah penyerang dan kapten, Son Heung-min yang perlahan-lahan menyesuaikan diri selepas pembedahan di bahagian muka dan tidak begitu mendatangkan impak pada aksi pembukaan itu.
Ketua jurulatih, Paulo Bento gembira dengan tahap permainan ditunjukkan pasukan itu berdepan lawan yang lebih berpengalaman, Uruguay dan dia menjangkakan perkara sama dalam perlawanan menentang Ghana esok dan Portugal empat hari kemudian.
Korea Selatan terikat satu mata dengan Uruguay dalam Kumpulan H dengan Portugal mendahului selepas menewaskan Ghana 3-2.
Bagi aksi di Stadium Education City dekat Al Rayyan, Bento pastinya gusar dengan kecergasan pertahanan, Kim Min-jae, yang bergelut selepas kecederaan dalam perlawanan pertama.
Ghana pula, pasukan Afrika pertama menjaringkan gol dalam kejohanan di Qatar, kecewa selepas kalah halangan pertama namun semakin yakin selepas persembahan babak kedua menentang Portugal.
Ghana mara ke suku akhir Piala Dunia 2010 namun jika mereka tewas berdepan Korea Selatan, pasukan itu pasti tersingkir pada pusingan pertama.
“Kami kini perlu menang, kami berada dalam tekanan tetapi mereka juga sama,” kata jurulatih Ghana, Otto Addo mengenai Korea Selatan.
Kapten, Andre Ayew ada rasa percaya terhadap pasukan itu sambil berkata mereka sentiasa dapat keluar daripada situasi sukar. – BERITA HARIAN