Tumpuan :
Sukan

Piala Cabaran: PDRM FC mara ke final menerusi penentuan sepakan penalti

Aksi perlawanan antara KDA FC dan PDRM FC. Foto: Facebook KDA FC

ALOR SETAR: PDRM FC menempah tiket ke pentas final Piala Cabaran apabila menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menerusi penentuan sepakan penalti (5-4) selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 (agregat 4-4) pada saingan separuh akhir kedua di Stadium Darul Aman malam tadi.

Keputusan ini menyaksikan Kedah selaku tuan rumah terpaksa menggigit jari selepas hampir mengatasi PDRM dengan aksi di laman sendiri dihadapan lebih 3,000 penyokong.

Pada aksi ini KDA FC melaungkan amaran awal di laman sendiri apabila hampir membolosi kubu PDRM melalui percubaan Aiman Afif pada minit ke-12 selepas mendapat hantaran pemain sayap Danial Tarmizi, tetapi rembatannya dalam kotak penalti berjaya ditampan pemain benteng PDRM.

Skuad kendalian P Maniam cuba bangkit melalui percubaan penyerang tempatan Shahrel Fikri dua minit kemudian namun percubaannya lemah dan mudah diselamatkan penjaga gawang Kedah Ifwat Akmal.

Kedua-dua pasukan dilihat buntu mendapatkan gol pembukaan dengan tempo permainan agak perlahan dengan aksi lebih berkisar di ruang tengah hingga ke hujung babak pertama.

Memulai babak kedua, Kedah cuba meningkatkan serangan melalui pemain sayapnya Daniel Tarmizi dan ahkirnya pada minit ke-58, Kedah berjaya membuka akaun jaringan yang dinantikan melalui percubaan Amirul Awang Kecik selepas mendapat hantaran Daniel Tarmizi.

PDRM cuba memperkuatkan lagi jentera serangan dengan memasukkan pemain import Bruno Suzuki pada minit ke-70 dan ini disusuli percubaan Shahrel Fikri tiga minit kemudian yang berjaya di selamatkan oleh Ifwat Akmal.

Ketinggalan dengan satu gol, PDRM cuba menekan kubu Kedah di hujung perlawanan dan akhirnya PDRM berjaya mendapat satu jaringan melalui percubaan Shafizi Iqmal untuk mengikat kedudukan 1-1 yang memaksa perlawanan berlangsung ke masa tambahan.

Tiada sebarang gol dihasilkan pada aksi masa tambahan dengan perlawanan ini terpaksa diteruskan dengan penentuan melalui sepakan penalti.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini