comscore
Tumpuan :
Sukan

Piala Asia: Jordan mara ke final, Son minta maaf

Pemain Jordan meraikan kejayaan mara ke final selepas menewaskan Korea Selatan 2-0 pada aksi separuh akhir Piala Asia 2023. FOTO: Reuters

DOHA: Jordan mencipta sejarah tersendiri apabila mara ke final Piala Asia buat kali pertama selepas menundukkan gergasi Asia, Korea Selatan 2-0 pada separuh akhir Piala Asia 2023 di Stadium Ahmed bin Ali, malam tadi.

Dua jaringan pada babak kedua ‘melemaskan’ Korea Selatan yang hilang arah sepanjang perlawanan dan skuad bimbingan Hussein Ammouta itu menanti sama ada Qatar ataupun Iran pada final di Stadium Lusail, Sabtu ini.

Korea Selatan tampak bergelut dengan Jordan tampil sebagai pasukan lebih baik dan mereka beruntung selepas penjaga golnya, Jo Hyeonwoo menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya dari Jordan.

Jordan menghantar amaran seawal minit ketiga menerusi rembatan deras Nizar Al Rashdan yang ditepis Hyeonwoo diikuti percubaan Noor Al-Rawabdeh yang turut ditutup Hyeonwoo pada minit ke-17.

Jaringan Son Heung Min pada minit ke-19 dibatalkan kerana ofsaid dan Korea Selatan sekali lagi lega apabila Hyeonwoo terus menyelamatkan gawang mereka dengan menafikan rembatan Yazan Al-Naimat enam minit berselang.

Jordan bernasib baik apabila pengadil, Mohammed Abdulla Hassan menarik semula keputusan untuk memberikan sepakan penalti pada minit ke-28 selepas membuat semakan menerusi sistem Video Bantuan Pengadil (VAR).

Peluang terbaik Korea Selatan hadir pada minit ke-31 apabila hantaran lintang daripada sebelah sayap kanan disudahkan dengan sepakan akrobatik Lee Jaesung namun sayangnya percubaan itu terkena tiang.

Pemain Korea Selatan, Son Heung-min (tengah) kecewa selepas tewas kepada Jordan pada separuh akhir Piala Asia di Stadium Ahmed bin Ali, Al Rayyan, Qatar. – FOTO: Reuters

Bersambung babak kedua, kesilapan pemain Korea Selatan menghantar bola ke belakang mengundang padah apabila hantaran itu dipintas Mousa Al-Taamari dan lorongannya disudahkan Al-Naimat pada minit ke-52

Korea Selatan berterusan dihambat Jordan dan Al-Taamari yang menjadi perancang gol pertama mencetak nama selaku penjaring gol kedua selepas rembatan lencongnya menewaskan Hyeonwoo pada minit ke-66.

Heung-min lantas memohon maaf dan berkata dia amat kecewa selepas Korea Selatan tersingkir daripada saingan Piala Asia dengan kekalahan itu.

Bintang Tottenham, Heung-min berkata, pasukannya yang mensasarkan untuk memenangi kejohanan itu buat pertama kali sejak tahun 1960, tampil gugup.

“Amat kecewa dengan keputusan ini. Jordan mengharungi perjalanan menakjubkan di kejohanan ini. Mereka berhak menang, mereka berjuang hingga ke akhir. Bagi kami ia malam yang mengecewakan,” kata Heung-min.

Kekalahan ini menyaksikan ‘Taeguk Warriors’ terus kempunan dalam memburu gelaran Asia buat kali ketiga selepas kali terakhir memenanginya pada 1960. -AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini