LUSAIL: Tuan rumah Piala Asia, Qatar memulakan langkah mempertahankan kejuaraan dengan bergaya apabila membenam cabaran Lubnan 3-0 pada perlawanan pembukaan awal pagi tadi.
Dua gol daripada ayam tambatan mereka, Akram Afif dan satu gol daripada Almoez Ali menyemarakkan sokongan peminat, sejurus acara pembukaan yang gilang gemilang berlangsung di Stadium Lusail di sini.
Tuan rumah mendominasi seawal minit perlawanan dimulakan namun Lubnan yang dipimpin pemain veteran, Hassan Maatouk sesekali berjaya mengancam kubu Qatar.
Afif yang dinobat pemain terbaik perlawanan, kerap kali mengkucar-kacirkan pertahanan lawan.
Usaha keras pemain Kelab Al-Sadd itu akhirnya berbalas apabila dia berjaya menyempurnakan sepakan ke penjuru kanan gol Lubnan pada penghujung babak pertama.
Ali, yang menjaringkan sembilan gol pada kejohanan pada 2019 menggandakan kelebihan Qatar, 11 minit selepas masuk babak kedua apabila berjaya menanduk masuk hantaran Mohammed Waad.
Dan Afif sekali lagi menemui sentuhan apabila menjaringkan gol ketiga Qatar pada waktu tambahan.
Pengendali Qatar, Marquez Lopez menyifatkan Afif pemain yang memiliki kualiti tinggi dan beliau gembira apabila ksemua pemain memberikan prestasi 200% seperti yang diperlukan.
Kemenangan ini menceriakan penyokong tuan rumah, sekaligus menebus kekecewaan tewas semua aksi kumpulan pada temasya Piala Dunia 2022 lalu.