DOHA: Lima hari sebelum Malaysia membuka tirai kempen Piala Asia 2023, kata-kata semangat dan doa terus dizahirkan penyokong Harimau Malaya.
Ini selepas pasukan kebangsaan yang sudah berada di Qatar sejak 1 Januari lalu mendapat tonik tambahan menerusi majlis perjumpaan khas bersama peminat semalam.
Sesi diadakan di Kedutaan Besar Malaysia di Doha, dihadiri 50 peminat yang kebanyakannya rakyat Malaysia tinggal di sana.
Turut hadir Duta Besar Malaysia Zamshari Shaharan dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin.
Ia menjadi detik bermakna buat penyokong apabila dapat beramah mesra bersama pemain.
Kesempatan digunakan peminat untuk memberikan dorongan kepada anak buah Kim Pan Gon memberikan aksi yang terbaik buat negara.
Kumpulan penyokong negara akan menjadi lebih besar, apabila kumpulan peminat dari tanah air bakal tiba tidak lama lagi.