Tumpuan :
Sukan

Piala ASEAN Wanita: Malayan Tigress buka kempen dengan kekalahan

Pemain Indonesia berusia 15 tahun, Claudia Scheunemann menjaringkan gol tunggal kemenangan 1-0 ke atas Malayan Tigress pada aksi Piala ASEAN Wanita 2024 di Vientiane, Laos malam tadi. – Foto aseanfootball.org

KUALA LUMPUR: Jaringan Claudia Scheunemann pada minit ke-79 menyaksikan skuad Malayan Tigress terpaksa akur memulakan kempen Piala ASEAN Wanita 2024 dengan langkah kiri selepas tewas 1-0 kepada Indonesia di Vientiane, Laos malam tadi.

Skuad kendalian Soleen Al-Zoubi yang diundi dalam Kumpulan B akan meneruskan cabaran menentang Kemboja pada Jumaat ini di Padang Simpanan KM16, Vientiane.

Berdasarkan format perlawanan membabitkan enam pasukan, saingan kumpulan akan berlangsung secara liga sepusingan dengan dua pasukan teratas layak ke separuh akhir pada 2 Disember.

Seterusnya, dua pasukan yang menang akan bertemu di final manakala dua pasukan yang tewas akan beraksi pada perlawanan penentuan tempat ketiga pada 5 Disember.

Sebelum kejohanan bermula, Soleen optimis skuad bola sepak wanita negara mampu merebut kejuaraan berbekalkan pengalaman pemain utama yang menempuh musim kompetitif panjang melalui Liga Wanita Nasional, Sukan Malaysia serta perlawanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini