Tumpuan :
Sukan

Piala Asean 2024: Thailand sahkan kemaraan ke separuh akhir, Malaysia dan Singapura tentukan satu lagi slot

FOTO: ASEAN United FC

Oleh: Saiyed Ismail Saiyed Hussin

KALLANG: Perlawanan ketiga kumpulan A Piala Asean AFF malam ini menyajikan keputusan dramatik serta perubahan kedudukan kelompok atas.

Thailand bangkit menewaskan Singapura 4-2 di Stadium Nasional, Singapore Sports Hub untuk mengesahkan slot dua tangga teratas berbaki satu lagi perlawanan, sementara tuan rumah pula terpaksa menentukan nasib dengan Malaysia apabila kedua-duanya bertembung Jumaat ini.

Skuad Singa seakan-akan menyambar tiket terawal selepas dua jaringan pantas oleh Mohd Shawal Anuar minit ke-10 dan Mohd Faris Ramli minit ke-34 meletakkan mereka selesa di hadapan.

Namun anak buah Tsutomu Ogura itu membenarkan lawan membuat kebangkitan menakjubkan dengan menyumbat empat gol hasil sumbangan Patrik Gustavsson pada penghujung babak pertama sebelum Suphanat Muenta menyamakan kedudukan minit ke-52 serta dua lagi masing-masing dari Peeradon Chamratsamee dan Teerasak Poeiphimai di masa kecederaan separuh masa kedua.

Keputusan 4-2 memihak pelawat itu memberikan kemenangan ketiga kepada barisan Masatada Ishii sekali gus mengumpul sembilan mata di posisi pertama kumpulan A.

Negara seberang tambak itu yang mengalami kekalahan pertama kekal di tangga kedua dengan enam mata, sementara Kemboja pula berkongsi empat mata dengan Malaysia di tempat ketiga hasil kemenangan 2-1 ke atas Timor Leste hari ini.

Harimau Malaya wajib menewaskan Singapura dalam aksi terakhir Jumaat ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil dan dalam masa sama mengharapkan Kemboja tidak mengutip mata penuh ketika menentang Thailand di Bangkok pada waktu sama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini