Oleh Al Shaiful Nazib Talib
CHERAS: Juara bertahan, Thailand memulakan kempen Piala AFF 2022 dengan penuh gaya apabila membenam Brunei 5-0 pada aksi kumpulan A di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur semalam.
Bagi jurulatih, Alexandre Polking, sudah tentu dia berpuas hati dengan keputusan ini, sekaligus menjadi tanda amaran kepada pasukan lain yang Thailand sedia untuk mempertahankan kejuaraan.
“Saya sangat gembira dengan prestasi yang ditunjukkan pemain-pemain memandangkan perlawanan pertama selalunya sukar, kita memenangi perlawanan ini dan turut menjaringkan 5 gol, banyak peluang dicipta dan kita mendominasi perlawanan, berdasarkan itu, ia sudah tentu satu kejayaan pasukan, kini fokus pasukan adalah perlawanan seterusnya dan bersedia,” katanya.
“Tentang tekanan, sebagai juara bertahan, kita berjaya mempamerkan persembahan yang baik, dan kita memenangi kejohanan ini pada edisi lalu, kami sudah mula memberikan tekanan, tetapi seperti yang saya katakan, kami perlu mempersiapkan diri dengan baik untuk perlawanan seterusnya,” tambah Polking.
Aksi yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala lumpur semalam, Thailand jelas mendominasi perlawanan, membuka jaringan menerusi Bordin Phala pada minit ke 19.
Dan empat minit menuju rehat, Thailand menggandakan jaringan, kali ini hasil sentuhan Teerasil Dangda yang menanduk masuk gol kedua.
Brunei berusaha keras untuk mempertahankan kedudukan sebaik permainan bersambung, bagaimanapun, minit ke 88, gol ketiga Thailand menyusul selepas Yura Indera Putera tertampan bola ke gawang sendiri.
Minit ke 90, Brunei dihukum lagi apabila Thailand dihadiahkan sepakan penalti selepas kekasaran yang dilakukan Yura Indera.
Dan Peeradol Chamratsamee tidak mempersiakan peluang untuk menjadikan kedudukan 4-0 buat skuad ‘Gajah Perang’.
Tidak terhenti di situ, cubaan luar kotak penalti Chamratsamee pada masa kecederaan turut membuahkan hasil menyaksikan Thailand ceria menamatkan aksi dengan kemenangan 5-0.
“Kita telah memungut tiga mata seperti yang telah disasarkan, perlawanan ini tetap saya label sebagai sukar kerana ia adalah perlawanan pertama, Brunei sebuah pasukan yang baik, saya mengagumi penjaga gol mereka kerana berjaya menyekat banyak percubaan pasukan kita.
“Dapat menjaringkan lima gol, sudah tentu ia pencapaian membanggakan, kami mahu semua pihak berbangga dengan pencapaian ini dan sudah tentu mahu lakukan yang terbaik untuk perlawanan seterusnya,” kata kapten pasukan, Teerathon Bunmatan.
Selepas ini, Thailand akan berehat agak lama apabila bakal menerima kunjungan Filipina di Stadium Thammasat Isnin nanti.