KUALA LUMPUR: Pertembungan dua corak permainan yang berbeza dijangka dapat disaksikan pada aksi `tetangga Seberang Tambak’ antara Malaysia dan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, malam esok.
Ini kerana kedua-dua pasukan pasti tampil dengan taktikal dan pendekatan yang dirasakan paling ‘kena’ dalam misi merebut slot ke separuh akhir Piala AFF 2022 yang masih boleh menjadi milik Malaysia dan Singapura.
Malah, meskipun Singapura pernah memberikan pengajaran kepada Malaysia pada aksi Siri Tiga Negara Persatuan Bolasepak Singapura (FAS), pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon mengakui tiada banyak perbezaan buat skuad Singapura ketika ini.
“Tidak banyak perbezaan berbanding kejohanan pada Mac lalu. Kami juga adalah pasukan yang berbeza cuma yang lainnya adalah dari segi pendekatan yang digunakan.
“Singapura dilihat lebih bertahan dan mencari ruang menerusi serangan balas pantas tetapi corak permainan kita lebih aktif. Kedua-dua pasukan ada cara yang berbeza untuk mendapatkan kemenangan.
“Tetapi kita menghormati cara permainan mereka dan kita akan menggunakan pendekatan yang sewajarnya. Kita tahu Singapura juga mahukan kemenangan.
“Mereka akan mengekalkan kelebihan yang ada untuk bermain lebih bertahan. Tiada siapa boleh membantu kita kerana semuanya bergantung kepada kita untuk meraih kemenangan,” katanya pada sidang media pra perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Sebagai rekod, Singapura sudahpun memberikan ‘kelukaan’ kepada Pan Gon selepas mereka menghadiahkan kekalahan sulung kepada beliau selepas bergelar jurulatih skuad kebangsaan menerusi keputusan 2-1 pada aksi Siri Tiga Negara FAS di Singapura, Mac lalu.
Dalam perkembangan sama, Pan Gon menegaskan barisan pemainnya sudah bersedia sepenuhnya untuk mengharungi aksi penting terbabit malam ini.
“Kita akan gunakan kelebihan yang kita ada sebaik mungkin khususnya menerusi sokongan padu penyokong.
“Persiapan kita berjalan lancar dan saya percaya pemain saya akan berjuang habis habisan bagi perlawanan malam esok,” katanya. – BERITA HARIAN