comscore
Tumpuan :
Sukan

Piala AFF 2022: Myanmar tidak sabar untuk beraksi, sedia terima kunjungan Malaysia

FOTO: Myanmar Football Federation

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

YANGON: Myanmar mahu memanfaat kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mengutip mata penuh apabila melayan kunjungan skuad ‘Harimau Malaya’ di Stadium Thuwunna petang ini.

Menurut jurulatih Myanmar, Antoine Hey, barisan pemainnya sudah bersedia untuk memulakan kempen Piala AFF kali ini, malah turut mengintai ruang untuk pergi jauh.

“Pertama sekali, sudah tentu kami gembira dapat kembali beraksi di laman sendiri selepas 3 tahun, ia peluang yang cukup baik kepada kami untuk menampilkan kemampuan kami.

“Kami telah memulakan sesi latihan sejak beberapa minggu yang lalu, bermain beberapa aksi persahabatan, kami telah bersedia dengan baik secara fizikal, kami berjaya menyatukan pasukan bersama, saya juga telah mengeluarkan senarai 23 pemain yang akan beraksi, semuanya cergas, dan kesemuanya bersemangat dan fokus, kami sudah tidak bersabar untuk memulakan kempen,” kata Hey pada sidang media.

Rekod pertemuan kedua-dua pasukan, kelebihan dilihat memihak Myanmar yang berjaya mengatasi Malaysia sebanyak 6 kali daripada 16 pertembungan kedua-dua pasukan.

FOTO: Myanmar Football Federation

Namun, perlawanan terakhir kedua-dua pasukan pada kempen Piala AFF 2018 menyaksikan kemenangan meyakinkan diraih Malaysia menerusi keputusan 3-0.

Dengan Malaysia turut meraih kemenangan pada dua aksi persahabatan menentang Kemboja dan Maldives, pastinya tugas sukar menanti Myanmar selepas perlawanan terakhir pasukan, skuad kendalian Hey ini dibelasah 0-6 berdepan Thailand.

Aksi pembukaan kumpulan B antara Myanmar dan Malaysia akan berlangsung di Stadium Thunnuwa di Yangon dengan sepak mula dijadualkan bermula jam 6 petang ini waktu Malaysia.

Loading...
Terkini