Tumpuan :
Sukan

PIALA AFC: AFC Sahkan Stadium Nasional Bukit Jalil Sebagai Venue Perlawanan Akhir

FOTO: AFC

BUKIT JALIL: Pentas akhir Piala AFC di antara Kuala Lumpur City dan kelab Oman, Al Seeb yang dijadual berlangsung pada 22 Oktober ini sah akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Menurut Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia, Datuk Seri Windsor Paul John, AFC amat berpuas hati dengan kondisi padang selepas pihaknya mengadakan lawatan ke venue berkenaan pagi tadi.

Tambah Datuk Seri Windsor, aksi final nanti juga bakal menyaksikan video bantuan pengadil, VAR sah akan digunakan buat kali pertama di Malaysia.

“Salah satu sebab stadium di Cheras tidak dapat digunakan adalah lux lampu limpah tidak mencukupi untuk VAR, cuma seribu lebih saja, kita perlukan 1800 lux, Stadium Nasional Bukit Jalil ada dua ribu lebih, jadi penggunaan VAR memerlukan cahaya yang mencukupi, begitu juga dengan produksi televisyen, itupun memerlukan lampu limpah yang mencukupi supaya kita dapat satu output yang baik, VAR akan digunakan, kita berpendapat penggunaan VAR di perlawanan akhir ini amat penting,” katanya.

Dalam perkembangan lain, AFC turut berharap, pihak tuan rumah dapat memastikan aspek keselamatan berada di tahap yang lebih baik berbanding sebelum ini.

“Kita akan membuat perbincangan dengan FAM dan KL City sebagai tuan rumah untuk memastikan segala persiapan dijalankan dengan baik, AFC memang berpuas hati dengan persiapan keselamatan yang dilakukan semasa Kejohanan Kelayakan Pra Piala Asia dulu, jadi kita harap kepada tuan rumah untuk memastikan apa saja yang perlu dibuat untuk menaikkan lagi taraf keselamatan terutama sekali setelah apa yang berlaku di Indonesia baru-baru ni,” katanya lagi.

KL City mencipta kejutan di pentas Asia apabila mara ke perlawanan akhir Piala AFC buat pertama kalinya selepas melepasi peringkat final antara zon dengan menumbangkan kelab Uzbekistan, Sogdiana Jizzakh menerusi penentuan sepakan penalti 5-3 selepas terikat tanpa jaringan dalam 120 minit.

Kejayaan itu menyaksikan KL City hanya tinggal selangkah untuk mengikut jejak Johor Darul Ta’zim yang pernah menjulang Piala AFC pada 2015 lalu selepas menewaskan FC Istiklol dari Tajikistan 1-0 di tempat lawan di Dushanbe.

Loading...
Terkini