Tumpuan :
Sukan

Peter Cklamovski sudah sampai di Malaysia

Peter Cklamovski tiba di KLIA hari ini. – FOTO: FAM

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih baharu skuad bola sepak kebangsaan, Peter Cklamovski akhirnya tiba di bumi Malaysia.

Perkara itu disahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan pengendali dari Australia itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

“Ketua jurulatih kebangsaan yang baharu, Peter Cklamovski selamat tiba di KLIA, Sepang dari Sydney, Australia, petang tadi untuk memulakan tugas membimbing skuad Harimau Malaya,” kata FAM di laman Facebook badan induk itu.

FAM pada 16 Disember lalu mengumumkan Cklamovski sebagai pengendali baharu skuad senior Harimau Malaya manakala Nafuzi Zain diberi tanggungjawab mengendali pasukan bawah 23 (B-23) tahun negara.

Badan induk itu sebelum ini memaklumkan Cklamovski dan Nafuzi akan memulakan tugas mereka pada 1 Januari lalu.

Mereka menjadi antara individu penting yang akan menerajui struktur organisasi revolusi Harimau Malaya dalam usaha untuk memperkasakan skuad bola sepak kebangsaan.

Terdahulu, dua individu penting bagi revolusi Harimau Malaya, Robert Douglas Friend dan Dr Craig Duncan sudah melaporkan diri di Wisma FAM, 14 Januari lalu.

Robert Douglas Friend yang juga bekas pemain kebangsaan Kanada memikul tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya manakala Duncan sebagai Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini