comscore
Tumpuan :
Sukan

Pestabola Merdeka 2024: Vicente lulus ujian pertama, Harimau Malaya ke pentas final

FOTO: FAM

Oleh: Fariz Fikri Zulkarnain

BUKIT JALIL: Pengendali baharu, Pau Marti Vicente lulus ujian pertama apabila membantu Harimau Malaya mara ke pentas final Pestabola Merdeka 2024.

Kejayaan itu hadir selepas skuad negara berjaya menewaskan Filipina 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Harimau Malaya bermula garang apabila terlebih dahulu melancarkan serangan berbahaya ke kubu lawan namun percubaan Daniel Ting tidak menepati sasaran pada minit kelapan.

Bagaimanapun ketika Harimau Malaya leka mengasak, Filipina melancarkan satu serangan balas dan hasilnya hantaran Jefferson David Tabinas dari sebelah kiri padang mengelirukan Muhamad Feroz Baharuddin yang tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-27.

FOTO: NSTP

Tersentak, barisan pemain negara kembali memperkemas permainan dan berpunca dari sepakan sudut, Syamer Kutty Abba kembali menceriakan penyokong dengan gol penyamaan, dua minit sebelum rehat.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan tuah nyata memihak Harimau Malaya apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-72 selepas Arif Aiman Mohd Hanapi dikasari Matthew Anthony Baldisimo.

FOTO: NSTP

Peluang itu mudah disempurnakan pemain gantian, Safawi Rasid untuk gol kedua yang juga gol kemenangan Harimau Malaya.

Kejayaan itu menyaksikan skuad negara akan beraksi di pentas final menentang Lubnan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.

Terdahulu, Lubnan mara ke penentuan kejuaraan selepas menundukkan juara bertahan, Tajikistan 1-0 dalam satu lagi aksi di sebelah petang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini