Tumpuan :
Sukan

Pestabola Merdeka 2024: Harimau Malaya diundi menentang Filipina, harga tiket kekal sama

Oleh: Fariz Fikri Zulkarnain

KUALA LUMPUR: Skuad bolasepak Harimau Malaya berpeluang menjejaki pentas final buat kali kelima berturut-turut di saingan Pestabola Merdeka apabila diundi menentang pasukan di ranking ke-147 dunia, Filipina pada aksi separuh akhir edisi ke-43.

Perlawanan separuh akhir itu dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, jam 9 malam pada 4 September depan.

Jika berjaya ke final, skuad kendalian Pau Marti Vicente yang kini menghuni ranking ke-134 dunia akan bertemu sama ada Lubnan atau juara bertahan, Tajikistan yang turun dalam satu lagi aksi separuh akhir di sebelah petang jam 4.30 petang.

Dua pasukan yang berjaya mencatat kemenangan di separuh akhir layak ke pentas final pada 8 September, manakala dua pasukan yang tewas akan beraksi di penentuan tempat ketiga pada hari yang sama.

Dalam pada itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan penjualan tiket kombo berharga RM70 bagi menyaksikan kesemua empat perlawanan Pestabola Merdeka 2024 Edisi Ke-43.

Foto: FAM/ Facebook

Ia akan dibuka untuk tempoh terhad selama 14 hari bermula Rabu, 7 Ogos hingga Selasa, 20 Ogos di www.tickethotline.com.my.

Tiket kombo pada harga RM70 itu adalah tiket bagi Kategori Terbuka sahaja yang mana penjualan awal dalam tempoh terhad selama 14 hari itu adalah untuk memudahkan penyokong setia Harimau Malaya yang mahu hadir pada kedua-dua hari perlawanan iaitu pada 4 dan 8 September 2024.

Sementara tiket biasa pula akan dibuka jualannya bermula pada Rabu, 21 Ogos 2024 sehingga ke hari perlawanan.

Harga tiket untuk setiap Hari Perlawanan ialah RM40 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak 6 hingga 12 tahun) bagi Kategori Terbuka, RM60 bagi Kategori Grandstand dan RM80 bagi Kategori Premium.

Kesemua harga yang ditetapkan ini adalah sama dengan harga yang dikenakan pada Pestabola Merdeka 2023 yang berlangsung di venue sama, Oktober tahun lalu tanpa sebarang kenaikan sebagai tanda penghargaan kepada sokongan berterusan yang diberikan oleh penyokong Harimau Malaya.

Pada edisi ke-42, Harimau Malaya terlepas gelaran juara apabila tewas 0-2 kepada Tajikistan.

Untuk rekod, Malaysia merupakan pasukan paling berjaya di saingan Pestabola Merdeka dengan 10 kali gelaran juara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini