comscore
Tumpuan :
Sukan

Pesta Sukan Air Kuala Kangsar sempena Keputeraan Sultan Perak ditangguhkan susulan MTL

IPOH: Pesta Sukan Air Kuala Kangsar 2024 yang dijadualkan pada 26 dan 27 Oktober ini bersempena sambutan Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah terpaksa ditunda susulan fenomena banjir dan fasa peralihan Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda negeri ini.

Perkara itu disahkan menerusi pekeliling yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak hari ini yang menyatakan penganjuran temasya yang diadakan sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Nazrin di persisiran Sungai Perak iaitu dekat Dataran Lembah Kuala Kangsar itu, ditangguhkan dan dipinda ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

“Dengan segala hormatnya izinkan saya memaklumkan bahawa penganjuran Pesta Sukan Air Kuala Kangsar Sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Nazrin Tahun 2024 yang dijadualkan berlangsung 26 dan 27 Oktober ini di persisiran Sungai Perak, Kuala Kangsar adalah ditangguhkan dan dipinda  ke suatu tarikh yang akan ditetapkan.

“Sehubungan itu, kerjasama dimohon untuk menangguhkan sebarang persiapan di lokasi terbabit serta-merta sehingga notis selanjutnya dikeluarkan,” kata pekeliling yang ditandatangani oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) SUK Perak, Datuk Nor Sham Rahman.

Sementara itu, Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, berkata  terdapat beberapa pertimbangan agar temasya itu ditangguhkan dahulu atas faktor keselamatan khususnya dalam hal pelepasan air di empangan sepanjang Sungai Perak yang akan mempengaruhi kederasan arus sungai.

Menurutnya, dapatan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati terdapat kebarangkalian besar arus Sungai Perak di kawasan Kuala Kangsar menjadi terlalu deras apabila terdapat pelepasan air dalam kadar tinggi di empangan sebelah hulu sungai khususnya Empangan Chenderoh di Kuala Kangsar yang pastinya menjejaskan aktiviti yang ingin dianjurkan.

“Sekiranya terdapat pelepasan (air) yang agak tinggi daripada empangan Chenderoh, kebiasaannya aliran Sungai Perak di Kuala Kangsar biasanya akan jadi sangat deras, menjadikan aktiviti-aktiviti air itu mungkin akan terjejas. Jadi mungkin dengan pertimbangan-pertimbangan itu  akan ada keputusan yang akan dibuat oleh jawatankuasa penganjur.

“Jadi syornya adalah supaya ditangguhkan walaupun belum ada kenyataan rasmi lagi setakat ini. Jadi, lebih baik kita tangguhkan dahulu (supaya) lebih selamat,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah JPS Perak, Ahmad Shahrir Md. Naziri dan Ketua Pengurusan Aset Hijau TNB (Tenaga Nasional Berhad) Power Generation Sdn Bhd, Mohd Zaini Jaafar.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohammad Nizar berkata dalam masa terdekat ini, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) bakal menurunkan lagi paras air di semua empangan seliaannnya sepanjang Sungai Perak melalui mesin penjanaan dan sistem alur limpah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang sudah termaktub.

Terdahulu, tular mesej di media sosial berkaitan penangguhan pesta sukan air Kuala Kangsar yang dijadualkan berlangsung di Dataran Lembah Sungai Perak, Kuala Kangsar itu susulan cuaca buruk yang turut membawa kepada banjir yang melanda beberapa kawasan sekitar negeri Perak khususnya di Perak Tengah dan Hilir Perak.

Penularan mesej mengenai penangguhan program anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Perak dan badan bukan kerajaan (NGO) Muafakat Anak Jati Kuala Kangsar (GEMUDA) itu dikatakan mengundang kekhuatiran khususnya dalam kalangan peserta dan peniaga bahkan pengunjung yang sudah menempah penginapan bagi menyaksikan program sukan air terbabit.

Sebelum ini, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk temasya itu dilapor berkata, ia dijangka bakal menarik lebih 50,000 pengunjung.

Loading...
Terkini