comscore
Tumpuan :
Sukan

Pesaka Terengganu tunggu laporan jurulatih dan pengurus pasukan 

KUALA TERENGGANU: Pesaka Terenganu mahu laporan lengkap daripada jurulatih dan pengurus pasukan berhubung kematian yang melibatkan pesilat negeri itu Wan Muhammad Haikal Wan Hussin.

Presiden Pesaka Terengganu, Datuk Yahaya Ali berkata pihaknya mengambil maklum dengan kejadian itu dan tidak menolak bahawa insiden terbabit sudah pasti meninggalkan kesan yang begitu mendalam buat atlet silat negeri yang kini dalam misi merangkul seberapa banyak pingat dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ogos ini.

“Pihak persatuan sudah mengambil maklum berkaitan kematian yang melibatkan pesilat Terengganu Wan Muhammad Haikal Wan Hussin, pihak kami masih menunggu laporan lengkap daripada jurulatih dan pengurus pasukan.

“Pada masa sama pihak kami tidak memandang mudah walaupun kes yang berlaku ini terpencil dan tidak pernah berlaku pada mana-mana pesilat sebelum ini,” ujar Yahaya.

Mengulas lanjut beliau berkata, pemergian atlet berbakat berusia 21 tahun itu sudah pasti kerugian besar buat kontinjen Sukma Terengganu memandangkan arwah salah seorang pesilat yang diharapkan membutirkan pingat untuk Terengganu.

“Pemergian arwah sudah pasti satu kerugian buat kontinjen silat Terengganu lebih-lebih lagi arwah berpotensi untuk hadiahkan pingat.

“Pihak Persatuan akan membantu keluarga arwah terutama dalam pengurusan pengebumian pada masa sama mengharapkan pihak keluarga menerima takdir ini dengan hati terbuka.

“Kita juga mengharapkan semua atlet menekankan aspek keselamatan,” katanya.

Terdahulu pesilat Terengganu itu, Wan Muhammad Haikal disahkan meninggal dunia pada jam 1.20 pagi tadi ketika dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Negeri Sembilan.

Pesilat yang bakal membuat penampilan pertama pada temasya Sukma itu rebah ketika menyertai pertandingan silat pra Sukma anjuran Persatuan Silat Negeri Sembilan yang bermula 29 Februari hingga 4 Mac.

Arwah yang berjaya mara ke suku akhir kejohanan itu difahamkan mengalami kecederaan di dada sebelah kiri ketika pertandingan itu berlangsung sebelum rebah dan tidak sedarkan diri sewaktu kiraan daripada wasit perlawanan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini