Tumpuan :
Sukan

Pertemuan Sultan Selangor, Tunku Mahkota Ismail, Raja Muda Selangor bincang bola sepak, isu semasa

Sultan Sharafuddin bersama Tunku Mahkota Ismail dan Tengku Amir Shah. FOTO Ihsan Facebook HRH Crown Prince of Johor

KUALA LUMPUR: Perjumpaan dan perbincangan membabitkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah serta Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim bakal membawa dimensi baharu dalam arena bola sepak tanah air.

Berdasarkan Facebook HRH Crown Prince of Johor pertemuan itu berlangsung selama kira-kira satu jam membincangkan beberapa perkara seperti sukan bola sepak dan isu-isu semasa.

Menjengah di ruangan, rata-rata netizen memberikan komen positif terhadap pertemuan itu yang melihat perbincangan terbabit bakal membawa perubahan dalam arena bola sepak tempatan.

Malah, pertemuan itu juga membuktikan bola sepak menyatupadukan semua pihak dan bukannya memecah belah.

Mengikut rekod, Selangor adalah kelab yang diterajui Tengku Amir dengan kejayaan paling gemilang adalah bergelar 33 kali juara Piala Malaysia.

Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dimiliki Tunku Mahkota Ismail berjaya membawa skuad Harimau Selatan mencipta pelbagai kejayaan gemilang termasuklah bergelar juara Liga Super 10 kali berturut-turut.

Sebelum ini, Sultan Sharafuddin berkenan menerima menghadap Tunku Ismail di Istana Selangor di bandaraya ini pada Oktober lalu.

Pada pertemuan itu, Sultan Selangor menegaskan bahawa perlunya ada kesatuan dan kesepaduan yang utuh di antara kesemua sembilan Raja-Raja Melayu.

Sultan Sharafuddin juga bertitah bola sepak adalah sukan rakyat yang telah sekian lama menyatupadukan masyarakat dan harus dipelihara serta dikekalkan sebagai antara wadah keharmonian negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini