SEREMBAN: Pemimpin persatuan sukan di Negeri Sembilan yang tidak menunjukkan prestasi terbaik diingatkan untuk segera melakukan perubahan atau memberi laluan kepada kepimpinan baharu, sekiranya tidak lagi mampu menguruskannya.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata ini bagi memastikan lebih ramai atlet dapat dilahirkan, sekali gus tidak mensia-siakan bakat mereka yang berpotensi untuk mewakili negeri atau negara pada masa akan datang.
“Kita harap persatuan ada perancangan masa depan yang lebih hebat, kerana persatuanlah yang mampu melahirkan atlet, kita di peringkat negeri hanya membimbing, membantu dan menyokong…jika satu-satu persatuan itu gagal (untuk cemerlang), saya harap mereka perlu muhasabah diri.
“Kita tak boleh merasa selesa dengan apa yang kita laksanakan, persatuan harus ingat persatuan sukan lain di negara ini lebih ke hadapan dan menyebabkan mereka berjaya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan insentif kemenangan atlet Negeri Sembilan ke Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak, di sini hari ini.
Terdahulu, Aminuddin menyampaikan insentif berjumlah lebih RM500,000 kepada para pemenang pingat di SUKMA Sarawak serta atlet yang mewakili negara ke Sukan Olimpik Paris.
Aminuddin turut berharap kesemua persatuan sukan dapat menyediakan perancangan dan strategi terbaik kepada pihaknya, terutama bagi menghadapi SUKMA 2026 di Selangor.
Dalam pada itu, beliau turut berkata sekiranya perlu, mana-mana persatuan sukan yang dilihat sukar untuk terus bergerak aktif boleh dipertimbangkan untuk diambil alih oleh Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).
“Sebagai contoh olahraga, kita hantar semua jenis acara, lontar peluru, lari dan sebagainya, tapi apabila sampai ke SUKMA, kita tak ada orang, mana perginya, itu aset yang ada pada kita semua, jadi kalau itu pun tak boleh kita serah pada orang boleh buat, suka tak suka kita kena ke arah transformasi,” katanya.
Negeri Sembilan meraih keseluruhan 19 emas, 13 perak dan 24 gangsa berbanding sasaran 20 emas menerusi penglibatan 520 pegawai dan atlet dalam 30 sukan disertai pada SUKMA Sarawak, yang berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos.
Dalam temasya tersebut, atlet menembak Negeri Sembilan Gan Chen Jie, 20, dinobatkan sebagai olahragawati, dengan pencapaian tujuh pingat emas selain memecahkan dua rekod SUKMA.
Chen Jie ketika ditemui pemberita selepas itu berkata beliau akan terus mengekalkan prestasi yang diraih itu dalam kejohanan berikutnya, meskipun dengan jadual padatnya yang turut bergelar mahasiswa di sebuah universiti swasta tahun ini.
“Mengenai perancangan masa depan, saya sasarkan untuk melayakkan diri ke Sukan Sea pada tahun hadapan dan segala persediaan telah dibuat ke arah itu, memang ada cabaran dari segi mental dan fizikal, saya harap boleh kawal diri dengan baik apabila hadapi perlawanan bertekanan tinggi,” kata anak jati Seremban itu.
— BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.