Tumpuan :
Sukan

Persatuan Badminton India beri kepercayaan kepada Hafiz Hashim corak latihan PV Sindhu 

Muhammad Hafiz Hashim bersama PV Sindhu selepas menjalani latihan. – Foto: IHSAN HAFIZ HASHIM

HYDERABAD,INDIA: Kejayaan menjuarai Badminton All England pada tahun 2003 ketika berusia 21 tahun, menjulang nama Muhammad Hafiz Hashim sebagai antara pemain berbakat dunia.

Selepas 20 tahun, ramai yang tidak menyedari bekas anak didik jurulatih berwibawa, Datuk Misbun Sidek itu, telah berkelana ke India sebagai jurulatih Badminton Akademi Suchitra di Hyderabad.

Kongsi Hafiz ketika dihubungi Buletin TV3, dia bergelar jurulatih di Akademi Suchitra sejak bulan Mac tahun ini. Akademi Suchitra adalah kelab persendirian yang menggunakan perbelanjaan sendiri.

“Selain membimbing sekelompok pemain, saya diberi tugasan khas melatih perseorangan utama wanita India, PV Sindhu,” kata Hafiz.

Menurutnya lagi, selain memastikan Sindhu layak ke Sukan Olimpik Paris tahun hadapan, Hafiz juga membuat sasaran peribadi untuk meletakkan Sindhu berada pada kedudukan ke-8 dunia.

Sidhu diakui Hafiz menunjukkan komitmen tinggi setiap kali menjalani latihan. -Foto: IHSAN HAFIZ HASHIM

Apa yang pasti, ada peningkatan yang berjaya dilakukan Hafiz apabila berjaya melonjakkan Sindhu ke kedudukan 14 dunia, naik satu anak tangga.

“Apa yang saya lihat selain komitmen Sindhu dalam latihan, pemain tersebut memiliki kelebihan dengan corak menyerangnya, dia juga pemain yang berjaya membayangi pencapaian cemerlang Sania Nehwal yang pernah bergelar pemain nombor satu dunia pada 2015.

Menghadapi Sukan Asia bulan ini, Persatuan Badminton India turut mengecualikan Sindhu daripada latihan pusat kebangsaan yang kini berlangsung di Akademi Badminton Pulella Gopichand di New Delhi sehingga 24 September, semata-mata untuk memberi kelonggaran buat Sindhu meneruskan latihan di bawah kendalian Hafiz.

Sindhu, 28 tahun, selain pernah memenangi Kejuaraan Dunia pada 2019, juga muncul pemain India pertama berjaya mara ke final Sukan Olimpik iaitu Rio 2016, sebelum akur meraih perak, tewas di tangan pemain Sepanyol, Carolina Marin dan empat tahun kemudian, memenangi gangsa di Sukan Olimpik Tokyo.

Hafiz yang mengikat kontrak sehingga 2026, mengakui selesa dengan tugasannya sekarang.

Latihan harian Hafiz bermula jam 6 hingga 9 pagi dan sesi petang, 2.30 hingga 5 petang.

Adik kepada bekas pemain badminton kebangsaan, Muhammad Roslin Hashim kelahiran Kota Bharu, Kelantan yang memilki ketinggian 1.88 meter ini mengakui, nasi briyani ayam menjadi makanan kegemarannya sejak berada di India.

Mengakhiri perkongsiannya bersama Buletin TV3, Hafiz sentiasa mengikuti perkembangan badminton tanah air, terutama prestasi semasa dua perseorangan negara, Lee Jii Zia dan Ng Tze Yong.

Bagi Hafiz, kedua-dua pemain memilki ‘match endurance’ tetapi tiada ‘tournament endurance’, bermaksud tidak cukup cergas dari segi fizikal yang membatasi keupayaan mereka berdepan pemain handalan dunia.

Loading...
Terkini