Tumpuan :
Sukan

Permotoran: MAM mahu jadikan ‘Festival Of Speed’ medan bangunkan bakat baharu

Oleh: Saiyed Ismail Saiyed Hussin

SEPANG: ‘Festival Of Speed’ FOS yang dipenuhi aktiviti dua dan empat roda akan menemui pengikut sukan permotoran negara apabila dilangsungkan 18 hingga 20 Oktober ini.

Dianjurkan Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), program julung-julung kali selama tiga hari di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu menawarkan pelbagai acara untuk memperhebat lagi kegiatan pembangunan di peringkat tempatan.

“Idea ‘FOS’ dapat respons sebagai program akar umbi yang sangat penting serta mencungkil bakat masa hadapan dan membangunkan budaya yang betul bagi sukan permotoran sekaligus memenuhi tanggungjawab yang dipikul MAM,” kata Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Mahathir semasa sidang media hari ini.

Tujuh disiplin permotoran bakal mengambil tempat, iaitu aksi pecut dan slalom go-kart, rali, gymkhana kereta dan motorsikal, sukan elektronik dan ‘pocket bike’ selain ‘push bike’ yang menjadi acara demo.

Antara objektif utama penganjuran ialah memperbesarkan lagi kumpulan berbakat dan peserta sukan permotoran dua dan empat roda tanah air.

Penganjur mensasarkan kehadiran lebih 10 ribu pengunjung sepanjang tiga hari festival berlangsung dari Jumaat hingga Ahad di sekitar SIC.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini