comscore
Tumpuan :
Sukan

Permotoran: Damok Bawa Cabaran Negara Sertai Musim Penuh Kalendar Kejuaraan Motosikal Dunia 2023

| Oleh Saiyed Ismail Saiyed Hussin

Foto: NSTP.

SEPANG: Ada berita gembira buat arena permotoran tanah air apabila pelumba negara kembali ke musim penuh kalendar Kejuaraan Motosikal Dunia 2023.

Perkembangan terbaharu itu disahkan hari ini apabila pasukan MTHelmets-MSi mengumumkan penyertaan Syarifuddin Azman sebagai pelumba mereka di saingan Moto3 pada 2023.

“Kami sangat gembira apabila dapat menandatangani Syarifuddin untuk musim 2023 kerana dia seorang pelumba yang dapat membawa potensi bersama kami.

Diogo dan Syarifuddin akan menjadi satu pasukan yang baik dan bersama-sama dengan kami, akan membentuk satu struktur yang sangat kuat untuk masa depan,” kata ketua pasukan MTHelmets-MSi Teo Martin.

Syarifuddin atau nama panggilannya Damok bakal bergandingan dengan Diogo Moreira dari Brazil bersama pasukan yang berpangkalan di Sepanyol itu.

“Ia satu mimpi yang menjadi kenyataan apabila dapat membuat penampilan sulung di Kejuaraan Dunia Moto3 bersama pasukan MTHelmets-MSi,” memetik kenyataan Damok menerusi akaun Instagram rasmi pasukan.

Damok merupakan pelumba berpotensi negara di usia 20 tahun selepas mula mengasah bakat di Kejuaraan Dunia JuniorGP sejak 2020 lagi hasil didikan ZK Racing yang dikendalikan Zulfahmi Khairuddin.

Di perlumbaan Grand Prix Malaysia 2022 yang berlangsung ketika ini di Litar Antarabangsa Sepang, Damok membuat penampilan menerusi slot ‘wildcard’ bersama pasukan Vision Track Racing juga dalam kategori Moto3.

Kali terakhir negara mempunyai wakil berlumba dalam musim penuh Kejuaraan Motosikal Dunia ialah pada 2021 menerusi Hafizh Syahrin Abdullah yang mewakili NTS RW Racing GP di kategori Moto2.

Loading...
Terkini