Tumpuan :
Sukan

Permohonan kerakyatan pemain warisan diketahui dalam tempoh sebulan – Saifuddin

KULIM: Permohonan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mendapatkan kerakyatan bagi empat pemain warisan akan diketahui dalam tempoh satu bulan akan datang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya perlu melakukan proses semakan terlebih dahulu bagi menentukan kategori permohonan sama ada pemain terbabit mempunyai pertalian darah dengan rakyat Malaysia atau tidak.

“Kalau dia ada salasilah, ada kaitannya dengan rakyat Malaysia, yang ada pada kategori Perkara 15 Perlembagaan Persekutuan, tapi kalau mereka tiada pertalian, permohonan akan berada di bawah Perkara 19.

“Kedua-dua jalur itu adalah jalur yang membolehkan mereka mendapat kewarganegaraan untuk membolehkan mereka mewakili Malaysia jika terpilih oleh jurulatih.

“Proses itu kalau sekarang kita boleh proses mengikut undang-undang, maknanya saya sudah teliti dan semua sepakat, maka boleh diluluskan sepantas satu bulan atau tidak lebih 12 bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir Program Sua Mesra KDN di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Karangan, Padang Serai, di sini, hari ini.

Terdahulu, FAM memaklumkan membuat permohonan untuk empat pemain warisan yang bakal memperkuatkan skuad Harimau Malaya.

Permohonan itu dalam proses mendapat kelulusan kerajaan dengan FAM turut mengesahkan mereka dalam proses bagi melengkapkan dokumen bagi empat pemain lain untuk tujuan sama.

Pengambilan pemain warisan itu antara revolusi yang dicetuskan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam memperkuatkan Harimau Malaya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini