Tumpuan :
Sukan

[VIDEO] Perlu sedia RM1 bilion dalam setiap gelung Olimpik – Penganalisis

Penganalisis Sukan Tanahair, Mohd Sadek Mustaffa

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu konsisten melabur sekurang-kurangnya RM1 bilion dalam setiap gelung persediaan Sukan Olimpik, jika berhasrat menjelmakan emas di temasya terbesar dunia berkenaan.

Itu pandangan penganalisis sukan tanahair, Mohd Sadek Mustaffa yang diperincikan secara eksklusif di Podcast Edisi Khas Sukan Buletin TV3.

Nilai besar itu bagaimanapun bukan kepada atlet sasaran pingat semata-mata, tetapi juga meliputi proses pembiayaan kelompok berpotensi menuju tempoh temasya yang disasarkan untuk menyerlah.

Mohd Sadek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UITM Shah Alam menambah, dalam usaha menamatkan penantian pingat emas pertama Malaysia di pentas Olimpik, banyak aspek yang perlu dinilai dan dirombak segera.

Penganalisis Sukan Tanahair, Mohd Sadek Mustaffa bersama hos Fariz Zolkarnain dan Hasnida Hanim ketika Podcast Edisi Khas Buletin TV3.

“Tetapi kita perlu realistik terhadap statistik tersebut. Pandangan saya secara peribadi, kerajaan perlu konsisten belanja RM1 bilion kepada atlet yang akan berikan satu nilai komersial seluruh dunia.”katanya.

“Di Australia, mereka melabur hampir RM3 bilion keseluruhan dan sama seperti United Kingdom mereka belanja 1.3 bilion pound sterling.

Pendanaan besar secara konsisten itu bukan bersifat jangka masa pendek, sebagai contoh bermula sekarang hanya untuk ke temasya Olimpik Los Angeles 2028 semata-mata.

Namun ia meliputi projek persediaan awal pembentukan atlet berpotensi melakukannya hingga ke tempoh temasya yang disasar merangkumi pelbagai aspek seperti jurulatih, latihan dan infrastruktur.

Oleh kerana ia sudah bersifat pemasaran komersil, sokongan korporat perlu dilibatkan bagi mengurangkan penggunaan dana pembayar cukai, selain penglibatan penuh peranan persatuan sukan.

“RM200 juta tu tak mencukupi. Bukan sahaja atlet yang perlu bangunkan, kita perlukan bangunkan jurulatih, bangunkan kepegawaian. Kita perlukan lebih banyak sukan dalam negara yang bersifat antarabangsa untuk atlet kita matang dan kita perlukan dana ini guna untuk penyelenggaraan kemudahan sukan yang bersifat satelit,” katanya lagi.

Beliau turut mengambil contoh kontinjen India yang beraksi di Paris 2024 yang telah membelanjakan hampir RM251 juta untuk 16 jenis sukan yang disertai di bawah Skim Sasaran Podium Olimpik (TOPS).

Walaupun pingat emas bukan lagi keutamaan buat negara itu, namun jumlah berkenaan adalah khas bagi sasaran untuk menaiki podium semata-mata dan tidak mengambil kira sokongan lain.

Ianya jauh lebih tinggi berbanding peruntukan keseluruhan yang diberikan negara bagi mencapai misi pingat emas pertama Malaysia di Olimpik.

India memperuntuk dana tertinggi sehingga RM2 juta kepada pasukan hoki, manakala RM3 juta dilabur kepada jaguh lontar lembing negara itu, Neeraj Chopa yang mencapai sasaran memenangi emas.


 

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini