![](https://media.buletintv3.my/2023/04/CMS-PP-2023-04-30T174131.294.jpg)
KUALA LUMPUR: Kontinjen negara diingatkan bersiap sedia dan tidak hilang fokus dalam menghadapi beberapa isu yang mungkin timbul sepanjang Sukan SEA 2023 di Kemboja yang akan disingkap tirainya secara rasmi, Jumaat ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, masalah yang mungkin timbul itu tidak dapat dielakkan kerana ini adalah kali pertama Kemboja menganjurkan temasya dwitahunan itu.
Menurutnya, antara yang dibangkitkan adalah isu penempatan atlet susulan daripada perkampungan sukan yang belum siap sepenuhnya dan ia menyebabkan ada sebahagian atlet negara terpaksa dipindahkan ke hotel di Phnom Penh sekali gus menimbulkan isu lain seperti pembekalan makanan halal untuk atlet beragama Islam.
“Mereka memberikan kami sejumlah atlet yang boleh masuk (perkampungan sukan) dan bakinya kita akan buat perancangan untuk tinggal di luar.
“Ia baru dimaklumkan kepada kami beberapa hari lalu dan mereka sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah ini untuk atlet kita. Dianggarkan kira-kira 200 saja yang boleh masuk dalam satu-satu masa dan kita ada kira-kira 600 atlet. Jadi yang selebihnya di luar (perkampungan sukan),” katanya selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara di sini hari ini.
Berdasarkan maklumat awal daripada pegawai sekretariat kontinjen negara yang sudah berada di Kemboja, Hannah berkata, kontinjen negara juga akan berdepan keadaan lalu lintas yang sesak daripada tempat penginapan ke venue pertandingan.
“Saya juga dimaklumkan mengenai keadaan cuaca ketika ini di Kemboja juga agak panas selain berhabuk. Pihak Institut Sukan Negara (ISN) sudah memberi peringatan kepada atlet dan memberikan panduan serta nasihat untuk diikuti oleh mereka sepanjang berada di Kemboja.
“Kita akan lakukan yang terbaik untuk mengelakkan gangguan kepada atlet untuk bantu mereka,” katanya.
Kontinjen negara ke Kemboja kali ini disertai 928 orang, terdiri daripada 677 atlet dan 251 pegawai.