comscore
Tumpuan :
Sukan

Perjuangan Pearly-Thinaah tersekat lagi di separuh akhir

Foto: Twitter BAM – Aksi Pearly-Thinaah ketika saingan separuh akhir Indonesia Masters, hari ini.

KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah sekali lagi terkandas di separuh akhir dalam tempoh seminggu selepas ditunjuk jalan keluar di Indonesia Masters, sebentar tadi.

Wakil tunggal negara itu tewas straight set 14-21, 19-21 dalam aksi 50 minit di tangan gandingan Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota yang berada di ranking lebih rendah daripada mereka, ke-11 dunia.

Selepas tewas mudah di set pertama, gandingan negara yang berada di ranking keenam dunia dan menjadi pilihan keenam kejohanan itu bagaimanapun menunjukkan kebangkitan di set kedua.

Mereka mendahului sehingga pertengahan permainan namun kegagalan mengekalkan rentak di penghujung saingan menyaksikan hajat mereka untuk membawa perlawanan ke set penentuan tidak kesampaian.

Kekalahan di separuh akhir ini adalah yang kedua berturut-turut buat Pearly-Thinaah selepas turut dikecewakan di Terbuka India minggu lalu, tewas kepada satu lagi gandingan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida 14-21, 16-21.

Kemenangan Fukushima-Hirota ke atas Pearly-Thinaah ini secara tidak langsung menjadikan rekod kemenangan mereka kepada 3-2 dalam lima pertemuan.

Sebelum ini, Pearly-Thinaah meraih kemenangan ke atas Fukushima-Hirota di pusingan kedua Malaysia Masters 2022 selepas dikecewakan lawan dari Jepun itu di Terbuka Indonesia pada tahun yang sama.

Fukushima-Hirota selepas ini dijadual bertemu Liu Sheng Shu-Zhang Shu Xian di pentas final selepas lawan dari China itu menewaskan Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai (Thailand) 21-11, 21-9.

Untuk rekod, Pearly-Thinaah menamatkan kempen 2022 dengan meraih dua gelaran iaitu di Terbuka Perancis selepas menewaskan gandingan Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dan membawa pulang pingat emas di temasya Sukan Komanwel Birmingham. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini