Oleh : Hazreen Mubarak
KUALA LUMPUR: Harapan untuk melihat wakil negara beraksi di peringkat akhir siri jelajah BWF Terbuka Jerman musnah selepas wakil tunggal Malaysia dari kem beregu wanita, Pearly Tan dan M.Thinaah tewas di separuh akhir, awal pagi tadi.
Pearly-Thinaah yang juga pemain ranking 6 dunia itu bagaimanapun tetap berikan aksi terbaik ketika berdepan pilihan utama Nami Matsuyama dan Chiharu Shida dari Jepun.
Set pertama berlangsung cukup sengit, menyaksikan aksi diheret ke penentuan tie break sebanyak dua kali di set pertama sebelum tewas 22-24.
Namun berbeza pula di set kedua apabila wakil negara matahari terbit itu mudah menutup aksi dalam tempoh keseluruhan 42 minit dengan kemenangan straight set menerusi catatan 21-13.
Sekaligus menyaksikan gandingan nombor dua dunia ini akan menentang Baek Ha-Na dan Lee So-Hee dari Korea Selatan di peringkat akhir esok.